‘Senarai Memalukan’ PBB dipertikai

‘Senarai Memalukan’ PBB dipertikai

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 9 Jun (AFP) – PBB semalam mengeluarkan satu “Senarai Memalukan” pelanggar hak asasi kanak-kanak tetapi tidak turut menyenaraikan Israel dan kumpulan militan Hamas, meskipun kemarahan berhubung kematian lebih 500 kanak-kanak dalam perang Gaza.

Sehubungan itu kumpulan hak asasi menggesa Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon supaya turut memasukkan Israel ke dalam senarai itu, dan dilakukan lebih banyak perdebatan di kalangan agensi PBB sebelum keputusan akhir dibentangkan kepada ketua PBB.

Ban memutuskan bahawa senarai tahun lepas terus dikekalkan, tetapi berkata beliau “amat cemas” dengan “pelanggaran yang teruk dideritai kanak-kanak akibat operasi ketenteraan Israel pada 2014.”

“Skala impak yang tidak pernah berlaku dan tidak boleh diterima ke atas kanak-kanak pada 2014 meningkatkan keprihatinan mengenai pematuhan Israel dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, paling ketara dalam prinsip dan etika perang yang perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama berkaitan penggunaan kekerasan yang melampau,” katanya.

Ketua PBB itu turut menyebut mengenai “peningkatan dramatik” dalam jumlah kanak-kanak yang terbunuh di Israel dan wilayah Palestin pada 2014.

Kanak-kanak Palestin bermain-main di atas tilam berhampiran runtuhan rumah yang menurut para saksi musnah akibat pengeboman tentera Israel ketika perang 50 hari di antara Israel dan Hamas di timur bandar Gaza. – Reuters
Kanak-kanak Palestin bermain-main di atas tilam berhampiran runtuhan rumah yang menurut para saksi musnah akibat pengeboman tentera Israel ketika perang 50 hari di antara Israel dan Hamas di timur bandar Gaza. – Reuters

Sekurang-kurangnya 561 kanak-kanak (557 warga Palestin, empat Israel) terbunuh dan 4,271 cedera (4,249 Palestin dan 22 Israel) pada tahun kepas.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric menekankan bahawa “laporan itu adalah lebih daripada senarai” dan dokumen itu menggariskan keprihatinan mengenai nasib kanak-kanak dalam konflik Israel-Palestin.

Sementara itu wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour berkata kegagalan menyenaraikan Israel sebagai pelanggar hak asasi kanak-kanak, apabila ia memenuhi kriteria, hanya akan meluaskan lagi keadaan bebas daripada hukuman dan menjadi kesinambungan kepada penderitaan ke atas kanak-kanak Palestin yang tidak berdosa.