Senario perniagaan Turki seperti biasa

Senario perniagaan Turki seperti biasa

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Majlis Perniagaan Turki-Malaysia hari ini memberi jaminan bahawa senario perniagaan di negara itu adalah berjalan seperti biasa susulan kegagalan cubaan rampasan kuasa pada bulan lepas.

Pengerusinya, Suheyla Cebi Karahan berkata semua petunjuk ekonomi semasa kekal kukuh manakala urusan sektor perbankan Turki juga lancar.

Bercakap kepada Bernama, beliau optimis pergolakan politik serta pengalaman negatif itu sebaliknya berkemungkinan meningkatkan semangat serta persepakatan bagi pembangunan ekonomi lebih kukuh di Turki.

“Kami maklum bahawa rakan di Malaysia mengikuti rapat perkembangan di Turki dan khuatir dengan kejadian cubaan rampasan berkenaan.

“Atas dasar itulah kami berada di sini untuk menyampaikan mesej bahawa cubaan rampasan kuasa itu dapat ditangani hasil sokongan padu rakyat Turki yang menyokong demokrasi,” katanya.

Pengerusi Majlis Perniagaan Turki-Malaysia, Suheyla Cebi Karahan (tiga kiri) dan Duta Turki ke Malaysia, Basak Turkoglu (tiga kanan) bergambar bersama delegasi perniagaan Turki di kediaman rasmi Kedutaan Turki semalam selepas pengerusi majlis berkenaan ditemubual wartawan Bernama . – Bernama
Pengerusi Majlis Perniagaan Turki-Malaysia, Suheyla Cebi Karahan (tiga kiri) dan Duta Turki ke Malaysia, Basak Turkoglu (tiga kanan) bergambar bersama delegasi perniagaan Turki di kediaman rasmi Kedutaan Turki semalam selepas pengerusi majlis berkenaan ditemubual wartawan Bernama . – Bernama

Beliau mengetuai delegasi perniagaan 10 orang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia yang berakhir hari ini.

Mengulas usaha menarik pelabur Malaysia ke Turki, Karahan berharap mereka dapat menimbang untuk meneroka pelaburan sektor pembangunan perumahan serta pelancongan.

Katanya, projek infrastruktur Turki ketika ini termasuk lapangan terbang baharu yang disasarkan menjadi hab logistik dan pusat di rantau Eropah-Asia, adalah faktor menarik serta dinamik untuk disertai pelabur Malaysia.

Ia juga sejajar peningkatan permintaan terhadap hartanah di bandar-bandar Turki seperti Istanbul, Ankara dan Izmir.

“Turki sememangnya terbuka kepada pelaburan asing berikutan memiliki kelebihan kedudukannya yang terletak di Eropah serta (menawarkan) harga lebih rendah berbanding pasaran antarabangsa.” – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA