Senegal hantar 2,100 tentera ke Arab Saudi

Senegal hantar 2,100 tentera ke Arab Saudi

DAKAR, 5 Mei (AFP) – Senegal semalam berkata ia akan menghantar 2,100 tentera ke Arab Saudi untuk menyertai pasukan bersekutu tentera Riyadh yang memerangi pemberontak di Yaman, atas permintaan raja Saudi, Raja Salman.

Menteri Luar Mankeur Ndiaye membuat pengumuman dalam ucapan kepada Dewan Perhimpunan Kebangsaan, menurut salinan kenyataan yang diperolehi oleh AFP.

Dia tidak menyatakan bila pasukan tentera akan dikerahkan, dan para pegawai tidak dapat memberi butiran lanjut dengan segera.

Ndiaye berkata Riyadh pada asalnya meminta Dakar menyumbang kepada pasukan bersekutu yang diketuai Saudi pada awal April.

Presiden Senegal Micky Sall ‘memutuskan memberi respons yang memihak permintaan ini dengan mengerah kontinjen seramai 2,100 orang tentera ke tanah suci Arab Saudi’.

“Perjanjian dan pengaturan perlu yang lain bagi pengerahan akan dibuat antara ketua-ketua pasukan bersenjata kedua-dua negara,” kata menteri luar itu lagi.

Pasukan bersekutu yang diketuai Saudi telah melancarkan serangan udara ke atas pemberontak Syiah Huthi yang disokong Iran dan sekutu mereka pada 26 Mac selepas mereka menguasai beberapa bahagian besar negara dan mara ke bandar selatan utama Aden, tempat Presiden Abedrabbo Mansouri Hadi berlindung.

Hadi melarikan diri ke Arab Saudi, dan Huthis – yang menyertai unit-unit tentera yang setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh – enggan menyerahkan wilayah atau melucutkan senjata meskipun menerima tekanan antarabangsa.