Sengkurong masih juara

Sengkurong masih juara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Juara bertahan Kejohanan Sepak Takraw Bawah 21 Tahun sempena Hari Belia Kebangsaan 2015/16, Pasukan Sengkurong sekali lagi membuktikan keunggulan pada kejohanan kali keempat tahun ini apabila menewaskan Pasukan Perkasa di Kompleks Sukan Menglait, di sini, petang tadi.

Namun Pasukan Sengkurong tidak diberikan laluan mudah oleh Pasukan Perkasa apabila anak buah Awang Bujang dan anak didik Haji Nordin itu terpaksa mendapatkan kejuaraan melalui set penentuan untuk menang 2-1.

Pasukan Sengkurong diterajui Awang Abdul Wasi, Awang Azim, Awang Azri dan Awang Rafiudin dipaksa untuk beraksi di set ketiga oleh Skuad Perkasa yang menampilkan Mohd Sahrul Nizam, Awangku Hijam, Awang Abdul Aziz bin Hanafi, Awang Noraprizal dan Awang Mohd Abdul Mateen.

Pada set pertama, Pasukan Sengkurong dipaksa bermain sehingga mata Dius sebelum memastikan kutipan mata sulung apabila mengalahkan Perkasa 22-24, namun anak buah Awang Zidi Metussin dan anak didik Awang Asman Durani itu bangkit pada set kedua apabila menumpaskan Pasukan Sengkurong 21-17.

Pasukan Sengkurong muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Bawah 21 Tahun sempena Hari Belia Kebangsaan 2015/16, semalam.
Pasukan Sengkurong muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Bawah 21 Tahun sempena Hari Belia Kebangsaan 2015/16, semalam.

Bagaimanapun, Pasukan Sengkurong menggunakan pengalamannya sebaik mungkin apabila berjaya, mengawal rentak permainan untuk mendapatkan kemenangan.

Pasukan Sengkurong menang set penentuan final kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan buat kali keempat tahun ini dengan mata 16-21.

Bagi Pasukan Sengkurong kejohanan kali ini sangat bermakna kerana berjaya mempertahankan kejuaraan, sekali gus berjaya menebus semula kekalahan mereka pada peringkat kumpulan kepada Pasukan Perkasa minggu lalu.

Berada di tempat ketiga bersama adalah Pasukan Belait B yang tewas kepada Perkasa 21-17, 21-17 pada separuh akhir dan Pasukan Ehzid Team pula tewas 7-21, 18-21 kepada Sengkurong. Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abbas.