Sengsara banjir selepas taufan

Sengsara banjir selepas taufan

LA PAZ, Filipina, 20 Okt – Air banjir separas kepala menggodak-godak di seluruh rantau pertanian yang luas di utara Filipina hari ini ketika hujan lebat memburukkan lagi kesengsaraan akibat taufan yang membunuh sekitar 22 orang dan memindahkan beribu-ribu yang lain.

Koppu beransur lemah menjadi ribut tropika dan bergerak ke arah Laut China Selatan pada pagi tadi, namun hujan lebat akan terus berlaku dan membanjiri kira-kira 40km di bandar Manila.

Penanam padi, Jeffrey de la Torre, 32, tidak lena tidur akibat aliran air yang masuk ke gubuknya buat hari kedua, sangat berbahaya, tahapnya hampir separas meja makan yang digunakan keluarganya seramai lima orang sebagai katil kecemasan.

“Kami sengsara. Saya sukar tidur. Saya bimbang air mungkin semakin meningkat,” kata de la Torre, seorang ayah kepada tiga anak kecil yang berasal dari bandar pertanian kecil La Paz, 95km utara Manila.

“Saya hanya berharap simpanan beras kami mencukupi. Ladang kami sudah dimusnahkan, buat masa sekarang kami hilang pekerjaan.”

Para penduduk mencedok lumpur berhampiran rumah mereka selepas hujan lebat yang dibawa oleh taufan Koppu yang membanjiri rumah-rumah di Bandar Cabanatuan, wilayah Nueva Ecija, utara Manila pada 20 Oktober. – AFP
Para penduduk mencedok lumpur berhampiran rumah mereka selepas hujan lebat yang dibawa oleh taufan Koppu yang membanjiri rumah-rumah di Bandar Cabanatuan, wilayah Nueva Ecija, utara Manila pada 20 Oktober. – AFP

De la Torre bercakap kepada AFP ketika dia meredah jalan banjir untuk meminta tolong jika rakannya memiliki ikan bagi memberi makan isteri dan anak-anaknya yang berumur antara tiga dan lapan tahun.

Koppu, ribut kedua terkuat melanda Filipina tahun ini, telah memaksa 70,000 orang berpindah dari rumah mereka dan menjejaskan 230,000 yang lain di seluruh pulau utama Luzon, kata agensi pengurusan bencana kerajaan.

Seramai 22 orang terkorban akibat banjir, tanah runtuh dan kemalangan bot, serta disebabkan oleh serpihan-serpihan yang terbang dibawa taufan, menurut jumlah AFP berdasarkan jumlah yang disahkan daripada pihak berkuasa tempatan dan kebangsaan.

Banjir setinggi bumbung meliputi beberapa sawah bendang paling penting di negara itu dan pertanian jagung di rantau berkenaan di dataran rata utara Manila yang terletak di kedua-dua tiga banjaran pergunungan gergasi.

Sementara air sudah mulai surut hari ini di kebanyakan kawasan dekat dengan banjaran tersebut, air bah bergerak ke hilir sungai. – AFP