Seni cermin keupayaan pemikiran kritikal dan kreativiti

Seni cermin keupayaan pemikiran kritikal dan kreativiti

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Seni pada suatu ketika dahulu sering dilihat sebagai satu perkara yang hanya menambah nilai estetik kepada sesebuah tempat kerja tetapi dengan penekanan kepada perlunya untuk mempunyai kemahiran abad ke-21 di tempat kerja.

Kajian menunjukkan bahawa seni bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan atau perisian estetik tetapi ia juga menanam keupayaan dan kemahiran yang tidak boleh diukur dengan mudah serta adalah amat penting dalam tenaga kerja yang kompetitif pada masa ini.

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa untuk menjadi ahli masyarakat dan tenaga kerja yang produktif serta mampu mengamalkan gaya hidup yang sihat, amat penting bagi para pelajar untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran dan keupayaan yang diperlukan bagi pencapaian akademik dan masa depan mereka.

Kemahiran dan keupayaan itu bermula dari bilik darjah seni di mana para pelajar mampu dididik mengenai kaedah menyelesaikan masalah secara efektif, memahami pelbagai budaya, menjadi lebih fleksibel, asli, inovatif dan paling utama, mampu untuk lebih memahami dan berkomunikasi dengan dunia sekeliling mereka.

Dapatan daripada kajian yang dibuat pada Januari 2012 oleh Sekolah Seni dan Rekaan, East Carolina University itu, dikongsi oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Joyce Teo Siew Yean, hari ini.

Dr Joyce Teo diperkenalkan kepada para pelajar yang mempamerkan hasil karya seni mereka pada pameran Spectacle 2016.
Dr Joyce Teo diperkenalkan kepada para pelajar yang mempamerkan hasil karya seni mereka pada pameran Spectacle 2016.

Di samping itu, menurut kajian berkenaan lagi, keaslian, visualisasi dan kefasihan untuk memberikan idea merupakan antara keupayaan dinilai tinggi yang berhubungan dengan seni yang amat berguna bagi kerjaya dan kedudukan para responden kajian itu.

Kajian itu juga mendapati bahawa pendidikan seni mampu untuk mendidik dan mengukuhkan lagi kemahiran abad ke-21 serta keupayaan kreatif lain yang digunakan di tempat kerja, merentas pelbagai industri dan perusahaan dalam kerjaya kreatif dan bukan kreatif, ulas Dr Joyce Teo lagi pada Perasmian Pameran Seni dan Rekaan, Spectacle 2016 yang berlangsung di Galeri Seni, Dewan Canselor, UBD.

Mengulas mengenai pameran yang mengetengahkan hasil seni 40 orang pelajar seni dan rekaan itu, Dr Joyce berkata, ia bukan sahaja mencerminkan keupayaan pemikiran kritikal dan kreativiti masing-masing tetapi juga menunjukkan kesedaran kolektif mereka dalam menggambarkan dunia indah di sekeliling mereka.

Beliau menyatakan harapan bahawa Spectacle 2016 akan membuktikan sekali lagi bahawa seni dan rekaan kontemporari mempunyai komponen bernilai yang menghubungkan minda generasi muda menerusi imej visual dan ekspresi yang kuat.

Selain daripada ekspresi artistik masing-masing, ulas Dr Joyce, para pelajar juga mempelbagaikan hasil karya seni mereka dengan elemen-elemen hiasan dan praktikal supaya ia mampu dipasarkan kepada orang ramai pada masa akan datang sebagai sebahagian dari industri kreatif Brunei yang sedang berkembang.

Ke arah itu juga, Dr Joyce berkata, program GenNEXT yang diperkenalkan oleh UBD pada tahun 2009 mempunyai kurikulum pelbagai disiplin dalam bidang seni, rekaan dan komunikasi yang direka untuk mengasuh pelbagai daya kreativiti dalam kalangan para pelajar supaya mereka mampu menjadi peneraju utama bagi industri kreatif Brunei pada masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA