Seni jadi jambatan penghubung, eratkan hubungan

Seni jadi jambatan penghubung, eratkan hubungan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Seni boleh menjadi jambatan penghubung bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan meningkatkan kefahaman di antara masyarakat yang mempunyai bahasa atau budaya yang berbeza.

Seni boleh merentas perbezaan bahasa dan seni boleh merentas sempadan di mana ia boleh meningkatkan kefahaman budaya menerusi pertukaran seni dua hala, jelas Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian, dalam kata alu-aluannya pada Perasmian Pameran Seni Bersama Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik China-Brunei Darussalam ke-25 yang berlangsung di Muzium Maritim, Kota Batu, hari ini.

Hadir untuk sama-sama merasmikan pameran berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan khas.

Yang Jian dalam kata alu-aluannya juga menyatakan penghargaan kepada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Akademi Kesenian China atas sokongan berterusan dalam menjayakan pameran seni yang julung-julung kalinya diadakan yang mengetengahkan karya seni daripada artis-artis Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

(Dari kiri) Dato Shofry Abdul Ghafor, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, Duta Besar Republik Rakyat China dan Gu Yingqing memotong reben melancarkan  Pameran Seni Bersama Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik China-Brunei Darussalam ke-25 yang berlangsung di Muzium Maritim, Kota Batu.
(Dari kiri) Dato Shofry Abdul Ghafor, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, Duta Besar Republik Rakyat China dan Gu Yingqing memotong reben melancarkan Pameran Seni Bersama Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik China-Brunei Darussalam ke-25 yang berlangsung di Muzium Maritim, Kota Batu.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan lukisan-lukisan yang dipamerkan.
Yang Berhormat Pehin menyaksikan lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Beliau menambah bahawa pameran itu merupakan satu langkah inovatif bukan sahaja dalam pertukaran bidang seni di antara Brunei dan China tetapi juga sebagai langkah inovatif dalam mempromosikan kefahaman di antara kedua belah pihak.

Yang Jian turut menyatakan harapan supaya pameran itu akan menjadi satu permulaan yang baru bagi pertukaran seni di antara Brunei dan China menerusi lebih banyak pertukaran serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara penduduk kedua-dua buah negara.

Di majlis berkenaan, perasmian pameran disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi, Yang Jian, Dato Shofry Abdul Ghafor dan Gu Yingqing.

Pameran yang berlangsung hingga 20 Disember itu, mengetengahkan 39 buah karya seni daripada 13 orang artis dari Negara Brunei Darussalam dan China. Pameran yang unik itu menonjolkan interpretasi seni Negara Brunei Darussalam dari mata artis China dan interpretasi seni landskap Republik Rakyat China dari mata artis Brunei.

Antara hasil karya seni lukisan yang dipamerkan di Pameran Seni Bersama Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik China-Brunei Darussalam ke-25 yang berlangsung di Muzium Maritim, Kota Batu hingga 20 Disember ini.
Antara hasil karya seni lukisan yang dipamerkan di Pameran Seni Bersama Sempena Ulang Tahun Hubungan Diplomatik China-Brunei Darussalam ke-25 yang berlangsung di Muzium Maritim, Kota Batu hingga 20 Disember ini.

Artis-artis Negara Brunei Darussalam yang diketengahkan dalam pameran itu ialah Dato Shofry Abdul Ghafor, Pengiran Timbang bin Pengiran Haji Tuah, Haji Dayang bin Haji Mutalip, Zakaria Haji Abdul Hamid dan Osman Mohammad.

Manakala itu, artis-artis China yang diketengahkan dalam pameran berkenaan ialah Yang Canjun, Zhang Xiaoming, Ren Zhizhong, Tong Biao, Guo Jianlian, Liu Haiyong, Gu Yingqing dan Chen Lei.

Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Gu Yingqing berkata bahawa lawatannya ke Brunei pada 2015 memberikannya inspirasi untuk menghasilkan karya seni yang mengetengahkan keistimewaan wajah-wajah masyarakat Brunei.

Menurutnya, karya seni yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan menggabungkan stail seni lukis tradisional China dengan mengetengahkan wajah-wajah masyarakat Brunei yang ditemuinya semasa lawatannya ke Brunei.

Beliau berkata, penggunaan seni lukis tradisional China untuk mengetengahkan wajah-wajah istimewa masyarakat Brunei memberikan satu keunikan kepada karya seni yang dihasilkan dan berharap para penggemar seni akan dapat melihat mesej yang ingin diketengahkan dalam karya-karyanya itu.

ARTIKEL YANG SAMA