Seni silat Brunei tarik minat warga Eropah

Seni silat Brunei tarik minat warga Eropah

Oleh Yusrin Junaidi & Pg Hjh Nazhatul Shima Pg Hj Tajuddin

Gambar oleh Pg Hjh Nazhatul Shima Pg Hj Tajuddin

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Keunikan seni silat asli Brunei telah menarik serombongan warga Eropah untuk mempelajari seni mempertahankan diri warisan bangsa di negara ini dengan mengikuti Kem Intensif Antarabangsa Seni Mempertahankan Diri Brunei anjuran Silat Suffian Brunei Darussalam yang julung-julung kalinya diadakan di negara ini.

Kem yang bermula 8 Disember lalu hingga hari ini disertai oleh 50 orang peserta dari Kanada, Afrika Selatan, United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia, Korea, Itali, Singapura dan Malaysia dengan diketuai oleh Pengasas Silat Suffian Brunei Darussalam, Moul Mornie yang bertanggungjawab memperkenalkan dan membuat seminar seni silat Brunei di Eropah serta Asia.

Kedatangan mereka diuruskan oleh Awang Harris Mohamad dari Kelasak Martial Art Brunei manakala itu penasihat serta guru silat yang bertanggungjawab mengajar mereka ialah Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Ludin dari Badan Perguruan Seni Silat Cakak Asli Brunei (BASIKAP) yang berada di bawah persekutuan induk Persatuan Silat Brunei Darussalam (PERSIB).

Salah seorang peserta, Shawn yang berasal dari Kanada, berkata kedatangan mereka adalah atas perbelanjaan sendiri semata-mata untuk mendalami seni silat Brunei yang di dalamnya terdapat budaya asli, sains dan kesukanan. Beliau sendiri merupakan jurulatih seni mempertahankan diri Taekwando di Kanada.

Menurut mereka, pengalaman datang ke Brunei sangat menyeronokkan kerana keamanannya dan orang-orangnya yang ramah.

Pengiran Haji Mohamad ketika menunjuk ajar peserta dari Afrika.
Pengiran Haji Mohamad ketika menunjuk ajar peserta dari Afrika.

Pada hari terakhir kem, rombongan berkenaan telah dibawa mengadakan kunjungan muhibah ke Gelanggang Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 di Kampung Mata-Mata, Gadong.

Lawatan rombongan yang diketuai oleh, Awang Moul Mornie itu bertujuan bagi memperkenalkan Seni Silat Asli Brunei, di samping dapat mengeratkan lagi tali silaturahim serta perpaduan di antara kedua-dua belah pihak khususnya.

Kehadiran rombongan berkenaan telah disambut dengan Perarakan Indung Keris oleh ahli Gerak 41 yang diketuai oleh Pengasas Gerak 41, Haji Ibrahim bin Haji Mohd Yussof.

Majlis telah diserikan dengan beberapa persembahan yang dimulakan dengan persembahan Guling Tangan oleh Citra Seni dan Persembahan Bunga (Gerak 41, Cakak, Campa dan Gelombang 12).

Persembahan lain seperti Kuntau dan persembahan bersenjata juga turut dipersembahkan sebagai tanda perkenalan.

Lawatan para peserta ke Gelanggang Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 atau lebih dikenali sebagai Gelanggang Tawakal itu juga bertujuan untuk mengenali lebih dekat lagi tentang perkembangan seni silat Melayu di Negara Brunei Darussalam yang menjadi lambang seni kepahlawanan dan keperwiraan bangsa Melayu.

Pengiran Haji Mohamad bergambar ramai bersama rombongan warga Eropah.
Pengiran Haji Mohamad bergambar ramai bersama rombongan warga Eropah.
Gambar ramai semasa kunjungan muhibah ke Gelanggang Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 di Kampung Mata-Mata, Gadong. - Gambar Achong Tanjung
Gambar ramai semasa kunjungan muhibah ke Gelanggang Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 di Kampung Mata-Mata, Gadong. – Gambar Achong Tanjung

Sepanjang mengikuti kem intensif berkenaan, ahli-ahli rombongan telah mempelajari Seni Silat Cakak Asli Brunei, Silat Olahraga iaitu silat yang ada unsur-unsur kesukanan, Seni Silat Sang Kilat iaitu teknik tangan kosong melawan tangan kosong, teknik silat Seni Betawi 3 iaitu mempertahankan diri dengan pernafasan serta teknik silat mempertahankan diri dengan senjata.

Latihan serta pelajaran Seni Silat Cakak Asli Brunei diadakan di rumah Pengiran Haji Mohamad di Kampung Mata-Mata.

Di samping datang untuk mempelajari seni silat Brunei, mereka juga berkesempatan mempelajari cara memakai Baju Melayu dan sinjang serta melawat ke tempat-tempat menarik di Brunei seperti Kampong Ayer dan pasar malam.

Mereka juga berkesempatan mencuba makanan Brunei yang menurut mereka sangat murah dan sedap.

Misi serta visi guru silat Pengiran Haji Mohamad, Awang Moul Mornie dan Awang Harris Mohammad mengadakan kem ini adalah untuk memperkenalkan Seni Silat Asli Brunei ke peringkat antarabangsa di samping menggalakkan industri pelancongan.