Seni ‘Yarn Bombing’ ceriakan bandar Kuala Terengganu

Oleh Zalina Maizan Ngah dan Wan Zuratikah iffah Wan Zulkiflu

 

KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang berkunjung ke Paya Bunga Square dan Kuala Terengganu (KT) Walk pasti melihat batang-batang pokok yang dipakaikan dengan ‘baju berwarna-warni.’

Begitu juga dengan tiang buaian di pesisir pantai Batu Buruk yang turut dihiasi sedemikian rupa sehingga menjadikan lokasi itu begitu menarik untuk merakam gambar.

Idea kreatif ini dipanggil ‘yarn bombing’ atau seni mengait menggunakan ‘yarn’ – sejenis benang kait pelbagai warna dan ia sudah lama bertapak di negara barat .

Di Malaysia, komuniti  seni jalanan urban iaitu YarnBombingMY yang diterajui empat anak muda mengambil inisiatif memperkenalkan seni kreatif itu iaitu Qushairi Mohamed Razali, Mohd Hafizulhilmi Mohd Sidek, Mohd Fahmi Mohd Sidek dan Nia Atasha Rosli.

Terengganu adalah negeri pertama mendapat sentuhan seni tersebut dalam jumlah yang agak banyak setelah mendapat sokongan kerajaan negeri.

Pengasas Yarn Bombing Malaysia, Qushairi Mohammed Razali, 41, yang lebih dikenali sebagai Qi Razali yang dihubungi Bernama berkata percubaan pertama dilaksanakan di Perak tetapi hanya melibatkan dua batang pokok sahaja.

“Pasukan ini banyak melakukan cubaan mengetengahkan seni ini tetapi ditolak. Bagaimanapun, secara tidak sengaja Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu menerima idea ini. Bermula 31 Ogos 2017 di Pantai Batu Buruk kami mula mengait dengan penyertaan 31 orang ahli,” katanya.

Projek hari kebangsaan

Projek mereka bermula bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat negeri dengan menghias 32 batang pokok di sekitar kawasan tersebut. Kemudian sebahagian daripada hiasan berkenaan dipindahkan ke kawasan landskap sekitar KT Walk (lapan batang pokok) dan PB Square (24 batang pokok).

Jelas Qi, idea memperkenalkan ‘yarn bombing’ tercetus apabila beliau melakukan penggambaran di Argentina pada tahun 2012 sebelum mengambil keputusan untuk membawa masuk seni tersebut ke negara ini.

Beliau yang yang juga pelakon dan pengacara itu berkata beliau tertarik dengan kombinasi warna benang yang menjadi hiasan pada pokok dan barangan lain yang terdapat di sekitar bandar negara berkenaan.

Ramai yang kreatif tetapi tidak diketengahkan

Menurut Qi, masyarakat di Malaysia sememangnya  terkenal dengan seni mengait sejak dahulu lagi tetapi hanya tertumpu kepada hasil kraf tangan sahaja berbanding negara luar yang menggunakan ‘yarn’ pada asalnya untuk tujuan melindungi tanaman pada musim sejuk sebelum menobatkannya sebagai seni kreatif.

“Ramai rakyat negara ini mempunyai kemahiran mengait dan kemahiran mereka ini boleh diterjemahkan dalam bentuk seni ‘yarn bombing’ untuk menghias persekitaran alam sekitar.”

“Bidang seni ini juga boleh membantu meningkatkan pendapatan golongan wanita yang mempunyai kemahiran dalam mengait,” katanya.

Qi berkata bagi projek di Terengganu, proses mengait mengambil masa selama dua bulan sehingga proses mengukur saiz pokok dan memilih warna yang sesuai. “Biasanya kita buat tinjauan apa yang nak di yarnbombing dan yang biasa dipilih ialah pokok.

Selepas kenal pasti tempat yang sesuai dan diambil ukuran barulah kerja-kerja mengait dijalankan berdasarkan ukuran dengan reka bentuk yang pelbagai dan teknik mengait tertentu.

“Tempoh mengait biasanya seminggu atau dua minggu tetapi bergantung juga kepada keadaan. Lagi besar pokok, lagi lama untuk disiapkan dan biasanya sebatang pokok untuk seorang pengait tetapi ada juga dilakukan secara berkumpulan” ujarnya.

Yarn Bombing atau seni mengait menggunakan ‘yarn’ sejenis benang kait pelbagai warna kini menerjah bandar Kuala Terengganu dengan idea kreatif hingga berjaya menceriakan suasana, malah pokok yang berada di kawasan sekitar bagaikan dipakai baju berwarna warni di laluan pejalan kaki Paya Bunga Square dan Kuala Terengganu (KT) Walk baru-baru ini. – Bernama
Terengganu adalah negeri pertama mendapat sentuhan seni tersebut dengan 32 batang pokok dihias setelah mendapat sokongan kerajaan negeri. – Bernama

‘Yarn’ yang digunakan kebiasaannya dari jenis akrilik yang tahan lasak dan dapat bertahan selama enam bulan sehingga setahun selepas dipakaikan ke tempat yang hendak dihias.

Terengganu cipta sejarah tersendiri

Menurut Qi, selepas projek tersebut dilaksanakan di Terengganu, semakin banyak pihak mula tertarik dengan seni hiasan itu sehingga mendapat permintaan tinggi termasuk dari syarikat swasta dan pihak berkuasa tempatan.

“Sebelum ini kita cuba cadangkan kepada banyak pihak tetapi mereka tidak nampak kenapa kita nak balut pokok ini dan menganggap ianya sebagai satu pembaziran.

Ini antara cabaran yang kita hadapi sebelum ini sebelum masyarakat mula menerima seni tersebut. “Sehingga kini terdapat 70 ahli dalam kumpulan kami yang membantu menjayakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata seni tersebut murah berbanding dengan seni lain yang memerlukan kos yang tinggi selain menggunakan perhiasan lain seperti lampu pelbagai warna yang turut menelan kos elektrik yang tinggi.

Beliau memberitahu Bernama, seni ‘yarn bombing’ memerlukan kos sekitar RM20,000 untuk 32 batang pokok dan kos ini untuk hanya sekali sahaja.

Qi berkata pihaknya berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan seni ini agar ianya standing dengan beberapa seni besar yang mendapat pengiktirafan.

“Kami berharap lebih ramai yang akan mengembangkan seni ini seluruh negara dan landskap kita diwarnai dengan hiasan yarn bombing. Menurut Qi beliau sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat swasta serta membuat hebahan menerusi media sosial dan juga arus perdana.”

Sokongan daripada datuk bandar Kuala Terengganu

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu Samiun Salleh berkata beliau sentiasa yakin dengan seni kreatif yang diilhamkan anak muda dan percaya bahawa seni reka bentuk ada pelbagai cabang dan subjektif, hanya mereka yang ada ilmu sahaja yang memahami dan menghargainya.

“Sama seperti pelukis tersohor dunia. Hasil lukisan mereka dihargai setelah mereka meninggal dunia. Sama seperti Picasso dan Michelangelo. Semasa mereka hidup rakyat tak nampak pun hasil seni mereka.”

“Untuk makluman projek seni yarn bombing ini mendapat komen positif oleh pihak pemeriksa Asian Cleanest City semasa lawatan tapak tahun lepas. Saya sediri mengiringi mereka semasa lawatan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Tambah Samiun, beliau mempunyai perancangan untuk mengundang kumpulan itu hadir lagi ke sini dan mengindahkan beberapa kawasan lain sebagai daya tarikan baru pelancong kerana ia bukanlah perkara asing di dunia cuma di negara ini sahaja ia baru bercambah.

“Perkara baru ada kalanya lambat dihargai dan ada juga yang tak pandai menilai. Bagi saya ia sangat menarik dan alhamdulillah setakat ini ia disambut baik oleh orang ramai malah kos melaksanakannya juga amat menjimatkan,” katanya. – Bernama