Sentiasa bersikap amanah

Sentiasa bersikap amanah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Pentadbiran dan pengurusan berkualiti, efisien dan cekap amat penting untuk membangunkan dan memajukan sesebuah negara terutamanya dalam sebuah negara Islam yang meletakkan dasar pentadbiran menurut lunas-lunas Al-Quran dan Sunah Rasulullah S.A.W.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan bagi pentadbiran sedemikian, tanggungjawab memimpin dan mentadbir negara bukanlah satu tugas yang mudah dan ringan malahan ia amat berat dan tidak dapat dipikul serta dilaksanakan secara bersendirian.

“Ia memerlukan kepada sokongan dan dokongan daripada semua pihak khususnya dari pembesar-pembesar, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan dan sokongan orang ramai,” jelasnya.

Berdasarkan keperluan inilah, diwujudkan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan dilantik pembesar, pegawai serta kakitangan kerajaan bagi membantu kerajaan dalam membangun dan memajukan negara.

Khatib seterusnya mengingatkan, hasrat untuk mencapai kemajuan dan pembangunan itu memerlukan pembesar, pegawai dan kakitangan kerajaan yang menumpukan sepenuh perhatian pada masalah dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bekerja dengan ikhlas, jujur dan amanah semata-mata untuk mendapat keredaan Allah bukan saja untuk sanjungan banyak pihak.

Menurutnya, tugas dan tanggungjawab itu adalah ibadat, kerana Allah akan memberikan ganjaran pahala kepada mereka yang menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan amanah sebaliknya sesiapa yang berlaku khianat pula dibalas dengan kehinaan dan azab seksa oleh Allah.

Oleh itu tambah Khatib, perlu juga diingatkan setiap jawatan yang dipertanggungjawabkan itu merupakan amanah yang wajib dipikul dan dilaksanakan dengan sempurna bukan dibuat sambil lewa dan diambil mudah.

“Sesungguhnya kita bekerja ini telah mengikat perjanjian, menerima jawatan dan bersedia melaksanakan dan akan bertanggungjawab mengikut bidang kuasa masing-masing di samping sifat jujur dan amanah, sifat yang semestinya dipupuk dan diamalkan semua.”               Khatib dalam khutbah seterusnya menambah, tugas dan tanggungjawab adalah jawatan yang diberikan itu adalah satu amanah perlu dilaksanakan kerana menunaikan amanah itu bukan satu tugas yang mudah atau ringan.

Perkara melaksanakan keadilan dan memegang amanah ini, ada dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan pelantikannya pada 22 Oktober lalu.

Dalam titah itu, Baginda sangat menekankan supaya pembesar negara bersifat adil terhadap rakyat dan penduduk di Negara ini.

“Perkara amanah dan keadilan seperti yang dititahkan itu adalah mustahak diambil perhatian bukan saja kepada pemimpin tetapi juga orang ramai,” tegasnya.

Perlaksanaan amanah dan keadilan yang berpandukan lunas-lunas yang betul dari agama, undang-undang dan etika itu memerlukan kefahaman yang betul dan kerjasama semua pihak berkenaan dan orang ramai, pemimpin dan orang yang membantu mereka perlu diberikan sokongan dan kerjasama yang ikhlas dari semua pihak berkenaan dan orang ramai.

Khatib seterusnya menyeru, jika inginkan pentadbiran dan pengurusan cekap dan cemerlang, hendaklah mengamalkan akhlak yang terpuji, menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dan mencontohi akhlak dan keperibadian Baginda Rasulullah.

“Perlu diingat, tugas atau kuasa yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dan jangan diabaikan, apatah lagi disalahgunakan.”

ARTIKEL YANG SAMA