Sentiasa hemat berbelanja

Sentiasa hemat berbelanja

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Rakyat di negara ini diseru untuk sentiasa berjimat cermat dalam pengurusan perbelanjaan dan sentiasa bijak dalam menangani apa jua cabaran.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar), sebelum itu menekankan bahawa walaupun negara masih mampu menyediakan sejumlah peruntukkan bagi pembangunan negara dan operasi kerajaan, namun kita mesti mengambil sikap berhemah dalam berbelanja dengan lebih memfokuskan kepada keperluan dan keutamaan.

Semasa menyampaikan usul menjunjung kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, petang tadi, Yang Berhormat Pehin berkata, sejak tahun 2015, dunia menyaksikan ekonomi yang merudum, dan Brunei Darussalam juga tidak ketinggalan menerima kesan daripadanya, yang mana ekonomi negara pada tahun kewangan 2016/2017 dijangka dalam keadaan yang lebih mencabar jika dibandingkan dengan tahun kewangan 2015/2016.

Katanya, faktor penyebab utama keadaan ekonomi yang mencabar adalah kesan kejatuhan harga minyak mentah.

“Sekali lagi, dalam titah Baginda baru-baru ini, Baginda Sultan dengan tegas menyatakan bahawa cabaran sangat berpotensi untuk membawa perubahan. Kerana itu, janganlah takut kepada cabaran. Cuma cabaran itu mestilah dihadapi dengan kebijaksanaan. Kebijaksanaanlah yang menentukan corak perubahan kepada yang lebih baik.”

pg09_160308_a

pg08_160309_MMN-_LogoKe arah inilah, tambah beliau, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menaruh harapan yang besar agar ahli-ahli Yang Berhormat akan dapat mengemukakan saranan-saranan atau buah fikiran mengenai cara-cara mengurangkan pergantungan kepada sumber minyak dan gas, bagaimana negara dapat menjana pendapatan dan kerajaan menjadi rakan kongsi dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat.

Dalam menangani permasalahan ini, jelas Yang Berhormat Pehin, kerajaan telah mengambil langah-langkah konkrit untuk membantu memperbaiki persekitaran perniagaan.

“Ini termasuk infrastruktur perundangan yang pro perniagaan serta penubuhan sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Darussalam Enterprise (DARe) yang bertujuan untuk membantu membangun dan meningkatkan pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta inisiatif-inisiatif yang lain.”

Menurut Yang Berhormat Pehin, dalam usaha membantu membangun dan memperkembangkan ekonomi negara ke arah mewujudkan suasana perniagaan yang pro perniagaan dan mesra perniagaan ini, agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab akan sentiasa meneliti, mengemas kini dan membuat reformasi yang tertentu mengenai tatacara melaksanakan tugasan bagi memudahkan para perniagaan tempatan dan pelabur-pelabur luar negeri untuk melabur di negara ini.

Ke arah ini, semua lapisan masyarakat diminta untuk berganding bahu dan dengan penuh gigih dan iltizam, meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutama di luar sektor minyak dan gas yang dikenal pasti boleh dikembang majukan.

Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa dalam melangkah ke hadapan, perubahan minda haruslah ditekankan kepada dua aspek iaitu budaya prestasi dan pencapaian di peringkat sektor awam dan swasta khasnya kepada generasi muda.

Usaha meningkatkan kerjasama, tambah beliau lagi, adalah perlu antara sektor awam dan swasta dalam menanam semangat bersepadu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Perubahan minda, tekan beliau, perlu diterapkan bagi membentuk pemikiran yang selari dengan aspirasi negara bagi menghasilkan nilai tambah dalam tugasan dan keupayaan menyediakan warga perkhidmatan awam yang dalam memupuk kepentingan jati diri bagi menghadapi jangkaan pelanggan dalam situasi kini yang kian mencabar.

Warga perkhidmatan awam juga perlu diterapkan dengan budaya kerja cemerlang agar dapat memberikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, produktif serta berkesan.

Budaya prestasi di sektor awam dan swasta ini adalah sangat diperlukan sebagai salah satu pra syarat penting bagi mencapai aspirasi hala tuju Wawasan Brunei 2035.

“Marilah kita bersama mempertingkatkan sikap sentiasa bertanggungjawab dan menyumbang kepada perekonomian negara dengan menaruh kepada pelbagai modality seperti perkongsian sama awam dan swasta, ‘Public Private Partnership’, dalam membanguni infrastruktur yang berpotensi menjana perekonomian yang lebih tinggi,” tambah beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA