Sentiasa iltizam capai sesuatu yang sukar

Sentiasa iltizam capai sesuatu yang sukar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 April – Kejayaan yang dicapai oleh kalangan pelajar adalah berdasarkan komitmen yang tinggi mereka dalam menghayati peranan sebagai anak didik yang taat dan patuh kepada guru, selain sangat proaktif untuk memahami isi pelajaran secara ekstensif, tidak pasif, rajin bertanya dan menggunakan masa yang berharga secara optimum.

Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan berkata, para pelajar yang berjaya juga mempunyai impian dan mahu merealisasikannya, dan mereka tidak ambil mudah dengan sasaran pencapaian, tetapi sentiasa beriltizam untuk mencapai sesuatu yang sukar dan akhirnya mampu mencapainya.

Bagaimanapun, tekan beliau lagi, pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam belum mencukupi untuk mencapai makna terpelajar dan terdidik, tetapi sebenarnya mesti juga diiringi dengan pendidikan rohani (spiritual) yang meletakkan sistem nilai sebagai objektif utama.

Beliau menyatakan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Anugerah Penuntut Cemerlang Peperiksaan Awam Sekolah St James Tahun 2015 yang berlangsung di Dewan Kampung Pandan hari ini.

Haji Azis menyampaikan sijil anugerah cemerlang kepada Dayang Anastasya Eka Narwastu Napitupulu, pelajar terbaik Tahun 11 Sains.
Haji Azis menyampaikan sijil anugerah cemerlang kepada Dayang Anastasya Eka Narwastu Napitupulu, pelajar terbaik Tahun 11 Sains.

Menurut beliau lagi, seseorang yang hanya pintar dan berjaya dalam peperiksaan dan meraih puluhan gred A, misalnya, baru saja disifatkan sebagai terpelajar, manakala definisi terdidik pula bermakna seseorang pelajar yang all rounder iaitu bijak belajar, aktif dalam pelbagai kegiatan, serta mempamerkan keperibadian yang mulia.

“Dalam hal ini, saya percaya para pelajar di sekolah ini memiliki ciri-ciri sedemikian yang merupakan cerminan aset negara yang berkualiti yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada kemajuan bangsa dan negara sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035,” katanya.

Majlis telah menyaksikan penyampaian sijil-sijil kecemerlangan kepada kira-kira 90 orang pelajar Sekolah St James dari Tahun 1 hingga 11 serta pelajar-pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan PSR 2015, dan GCE ‘O’ Level 2015, yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat dan disaksikan oleh Pengetua Sekolah St James, Haji Muhd Masa Masdi bin Sa’idun.

Pelajar-pelajar yang berjaya mencapai 5A dalam Peperiksaan PSR 2015.
Pelajar-pelajar yang berjaya mencapai 5A dalam Peperiksaan PSR 2015.
Salah seorang pelajar cemerlang disamping kedua ibu bapanya yang turut merasa bangga atas kejayaan anak mereka.
Salah seorang pelajar cemerlang disamping kedua ibu bapanya yang turut merasa bangga atas kejayaan anak mereka.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil-sijil Penghargaan Kesetiaan kepada seramai 12 orang pelajar, yang telah menuntut di sekolah tersebut sejak Pra Sekolah sehingga ke peringkat menengah dan kemudian berpindah untuk melanjutkan pendidikan dalam Pra Universiti.

Haji Muhd Masa Masdi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, kejayaan para pelajar di sekolah itu juga adalah atas kerjasama daripada para ibu bapa dan penjaga, yang telah bekerja keras dalam memberikan dorongan dan bersama-sama memberikan perhatian dalam pembelajaran anak-anak mereka semasa berada di rumah.

Menurutnya, penganugerahan berkenaan, memberikan pengiktirafan kepada pencapaian pelajar-pelajar mereka dalam pelbagai bidang pengajian, termasuk bahagian bahasa, subjek matematik, sains dan juga pencapaian keseluruhan di setiap peringkat atau tahun.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Penolong Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah St James, ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru serta para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan.

ARTIKEL YANG SAMA