Sentiasa jaga kebersihan, kesucian kawasan pasar raya

Sentiasa jaga kebersihan, kesucian kawasan pasar raya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Ogos – Bahagian Kawalan Makanan Halal Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, hari ini membuat lawatan susulan ke pasar raya yang menjadi viral dalam media sosial berhubung dakwaan kelihatan anjing dibiarkan keluar masuk ke bahagian tempat memotong ayam dan daging.

Ketua Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Ugama Kuala Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu ketika dihubungi berkata, Bahagian Kawalan Makanan Halal jabatan tersebut pada masa ini turut mengambil perhatian ke atas kawasan luar pasar raya tersebut, khasnya tempat pemunggahan barangan serta menasihatkan pihak pengurusan pasar raya berkenaan supaya menyertu kawasan terbabit di mana kelihatan anjing bebas bergerak.

Menurut beliau, pihak pasar raya berkenaan juga turut dinasihatkan agar mengambil perhatian dan tindakan yang bersesuaian dalam memastikan kawasan luar pasar raya sentiasa bersih dan suci daripada sebarang najis dan kekotoran.

Katanya, pihak pengurusan pasar raya itu telah memberikan kerjasama baik dalam perkara tersebut.

Rakaman video kerja-kerja menyertu kawasan bahagian memotong ayam dan daging di pasar raya berkenaan turut menjadi viral melalui media sosial hari ini.

Kira-kira pukul 7 malam tadi, gambar-gambar anjing yang kelihatan bebas bergerak di kawasan luar tempat pemunggahan barang pasar raya itu turut diviralkan sekali gus membuktikan memang terdapat anjing di kawasan luar premis pasar raya.

Bagaimanapun penyelia pasar raya menafikan bahawa anjing itu dibiarkan masuk sehingga ke dalam premis pasar raya.

Gambar-gambar anjing yang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam sangkar seterusnya diletakkan ke dalam sebuah kereta untuk dibuang juga turut diviralkan dalam media sosial malam tadi.

Susulan insiden itu, beberapa orang yang ditemui memberitahu sepatutnya anjing tidak boleh dibiarkan bebas berkeliaran di kawasan pemunggahan makanan di pasar raya tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan serta kesucian.

Ada juga yang mencadangkan pihak jabatan berkenaan mengadakan taklimat mengenai perdagangan Islam yang melibatkan hukum najis anjing dan sebagainya, terutama kepada pekerja-pekerja di pasar raya atau restoran.

Manakala Jabatan Kesihatan juga boleh memberikan ceramah tentang kebersihan dan juga penyakit-penyakit yang boleh dibawa oleh anjing dan sebagainya, manakala Jabatan Bandaran atau bahagian yang mengeluarkan lesen perniagaan dan lesen memelihara anjing boleh menjelaskan tentang garis pandu mendapatkan lesen dan peraturan yang telah ditetapkan supaya mereka lebih peka ke atas perkara-perkara seperti ini.

Seorang penduduk tempatan, Haji Osman memberitahu, anjing-anjing kadangkala kelihatan berkeliaran di beberapa kawasan seperti di gerai-gerai dan sebagainya untuk mencari makanan, dan yang paling penting adalah bagaimana pengawalan dan penghapusan anjing-anjing liar dilaksanakan oleh pihak berkenaan, demi menghindari sebarang kejadian jangkitan penyakit dan tercemar kesuciannya yang telah ditetapkan dalam hukum Islam dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA