Sentiasa menimba ilmu

Sentiasa menimba ilmu

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Para pelajar diseru untuk tidak berhenti menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri mereka bukan sahaja melalui kegiatan akademik, tetapi juga menerusi penyertaan dalam kegiatan kesukarelawanan.

Ilmu pengetahuan dan kemahiran itu, bukannya terhad kepada ilmu atau kemahiran akademik semata-mata, tetapi juga ilmu dan kemahiran kehidupan seharian di mana ia merupakan komponen yang penting untuk menjadikan pelajar itu sebagai seorang yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang lengkap.

Seruan itu dibuat oleh Penolong Pengarah dan Ketua Unit Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Pencapaian Akademik Cemerlang dalam Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level dan BC-GCE ‘A’ Level 2015, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, hari ini.

Di samping itu, para pelajar harus menghargai jasa, sokongan, dorongan dan bimbingan yang diberikan oleh ibu bapa serta guru-guru mereka yang setia memberikan mereka galakan dan tunjuk ajar untuk meraih kejayaan, jelasnya lagi di majlis yang berlangsung di Auditorium Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.

Terdahulu, Pemangku Pengetua Maktab Sains, Hajah Hashimawati binti Haji Mohamad dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bagi 2015, Maktab Sains mencapai keputusan 98.11 peratus bagi pelajar yang mencapai 5 ‘O’ Level ke atas dalam Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Levels dan keputusan bagi 2015 juga menunjukkan peningkatan yang signifikan dari segi kualiti pencapaian pelajar memperoleh pangkat 8A ke atas iaitu meningkat sebanyak 1.37 peratus, pangkat 9A ke atas meningkat sebanyak 4.77 peratus dan pelajar memperoleh pangkat 10A meningkat sebanyak 3.89 peratus.

Di antara penerima-penerima sijil dan hadiah pada majlis berkenaan.
Di antara penerima-penerima sijil dan hadiah pada majlis berkenaan.
Haji Ali Yusri menyampaikan hadiah cemerlang kepada Dayang Nurul Izzati.
Haji Ali Yusri menyampaikan hadiah cemerlang kepada Dayang Nurul Izzati.
Haji Ali Yusri menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pelajar terbaik yang diraikan.
Haji Ali Yusri menyampaikan sijil dan hadiah kepada salah seorang pelajar terbaik yang diraikan.
Haji Ali Yusri menyampaikan sijil dan hadiah kepada Wong Jun Hong.
Haji Ali Yusri menyampaikan sijil dan hadiah kepada Wong Jun Hong.
Hajah Hashimawati menyampaikan kata alu-aluannya.
Hajah Hashimawati menyampaikan kata alu-aluannya.

Manakala keputusan dalam peringkat ‘A’, katanya lagi, Maktab Sains telah mencapai 96.77 peratus bagi pelajar yang memperoleh pangkat 2 ‘A’ ke atas dengan peningkatan 9.36 peratus dan 92.74 peratus bagi pelajar yang memperoleh pangkat 3 ‘A’ ke atas meningkat 16.07 peratus jika dibandingkan dengan 2014.

Mata pelajaran yang meningkat dari segi peratus gred A dalam peperiksaan BC-GCE peringkat A ialah Perakaunan, Biologi, Pengajian Perniagaan, Kimia, Matematik, Fizik dan Kesusasteraan Bahasa Inggeris.

Manakala itu, mata pelajaran yang meningkat dari segi peratus gred A dalam Peperiksaan BC-GCE Peringkat ‘O’ Level ialah mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik D, Kimia, Fizik, Sejarah, Kesusasteraan Bahasa Inggeris, Seni dan Statistik.

Pada majlis itu, seramai 63 orang pelajar cemerlang menerima hadiah dan sijil cemerlang mereka mengikut kategori masing-masing di mana seramai 47 orang pelajar penerima adalah mereka yang mencapai pangkat 6A ke atas bagi peringkat ‘O’ dan 13 orang pelajar yang mencapai pangkat 3A ke atas bagi peringkat ‘A’.

Di samping itu, seorang pelajar dianugerahkan pencapaian terbaik bagi Peringkat ‘O’ iaitu Dayang Nurul Izzati binti Awang Shuani yang memperoleh pangkat 5A* dan 5A. Bagi peringkat ‘A’ pula, dua orang pelajar yang dianugerahkan pencapaian terbaik iaitu Awang Mahmoud Adam bin Osman yang mendapat keputusan pangkat 3A* dan 1a (Peringkat AS) dan Dayang Ti Li Lin yang memperoleh pangkat 2A*, 2A dan 1C (Peringkat AS).

Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar terbaik itu merupakan salah satu kegiatan tahunan berterusan yang dilaksanakan oleh Maktab Sains dalam usaha membentuk, melahirkan dan menampilkan pelajar-pelajar cerdik, cerdas dan mempunyai wawasan dalam mengukuhkan martabat serta jati diri dan memperkasakan keupayaan bangsa.

ARTIKEL YANG SAMA