Sentiasa pantau, didik pelajar yang lemah

Sentiasa pantau, didik pelajar yang lemah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Julai – Guru Besar Sekolah Ugama Penanjong, Hajah Rosni binti Haji Ahmad merasa bersyukur dan gembira selepas sekolah itu menerima hadiah sebagai sekolah yang mendapat keputusan terbaik keseluruhan Peperiksaan SSSRU 2015 bagi Daerah Tutong tahun ini.

Walaupun sekolah mereka belum pernah menerima hadiah Sekolah Cemerlang Keseluruhan, namun sekolah Ugama Penanjong ini telahpun mendapat keputusan 100% lulus dalam Peperiksaan SSSRU selama enam tahun berturut-turut dan pada tahun 2015, kesemua 28 orang murid-murid mereka telah berjaya mendapat pangkat 1.

Hajah Rosni berharap kejayaan seperti ini sentiasa diteruskan dari tahun ke tahun dan akan sentiasa menambahbaik dan meningkatkan lagi prestasi murid-murid Sekolah Ugama Penanjong dari semasa ke semasa, dan beliau juga menasihati kepada guru-guru di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mendidik anak-anak murid yang lemah.

Beliau mengakui bahawa kebanyakan bekas murid-murid yang pernah bersekolah agama sudahpun lupa dengan pelajaran agama tetapi yang penting melalui didikan agama ini, pelajar-pelajar sudahpun mengetahui pentingnya kita mengingati Allah S.W.T seperti sembahyang lima waktu dan membaca Al-Quran.

Menurut salah seorang guru Darjah 6 Sekolah Ugama Penanjong, Nor Surayani binti Abdul Hamid, asas kecemerlangan adalah daripada guru besar itu sendiri yang memberi tunjuk ajar dan memberi motivasi kepada guru-guru.

Nur Maizatul Hazirah (kanan) pernah menerima hadiah sebagai pelajar pertama yang mendapat cemerlang dalam Peperiksaan SSSRU 2015 bagi peringkat seluruh negara yang diadakan di ICC, Berakas baru-baru ini.
Nur Maizatul Hazirah (kanan) pernah menerima hadiah sebagai pelajar pertama yang mendapat cemerlang dalam Peperiksaan SSSRU 2015 bagi peringkat seluruh negara yang diadakan di ICC, Berakas baru-baru ini.
Hajah Rosni dan salah Nor Surayani selepas ditemubual.
Hajah Rosni dan salah Nor Surayani selepas ditemubual.

“Oleh itu, kami sebagai guru-guru telahpun membuat ulangkaji dua bulan sebelum peperiksaan agar murid-murid sudahpun bersedia lebih awal, dan seterusnya memastikan semua murid-murid Darjah 6 hadir bagi mengikuti kelas ugama, dan kami perlu berbincang dan saling bantu-membantu bersama anak murid dan ibu bapa,” jelasnya.

Yang paling intensifnya ialah guru-guru perlulah sentiasa memantau dan mengajar murid-murid yang mempunyai keputusan yang lemah, jelasnya.

Beliau menambah bahawa bagi menangani murid-murid yang lemah dalam peperiksaan, mereka sentiasa diberikan motivasi dan ibu bapa perlu peka dan menyokong terhadap pendidikan anak-anak mereka.

Ketika ditemubual, Nur Maizatul Hazirah binti Mohammad Hussaini iaitu salah seorang Murid Cemerlang Keseluruhan Peperiksaan SSSRU 2015 bagi Daerah Tutong, beliau menjelaskan beliau tidak menyangka bahawa keputusan yang diperolehi amat memuaskan dan setiap mata pelajaran agamanya telah memperolehi Star.

Katanya, sebelum ini beliau mendapat kesukaran dalam mata pelajaran Fiqh dan tidak menyangka mata pelajaran yang sukar dapat keputusan yang memuaskan. Bagi menangani mata pelajaran tersebut, sebelum ini beliau sentiasa membuat ulangkaji dan membaca mana-mana topik yang tidak difahami.

Nur Maizatul Hazirah juga pernah menerima hadiah sebagai pelajar pertama yang mendapat Cemerlang dalam Peperiksaan SSSRU 2015 bagi peringkat seluruh negara yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas baru-baru ini.

Beliau menasihati murid-murid yang akan mengambil peperiksaan itu nanti akan sentiasa bersiap sedia dan sentiasa mengulangkaji pelajaran ugama sama rata dengan peperiksaan sekolah menengah.

Ini kerana pelajaran di sekolah ugama adalah salah satu pelajaran untuk kita menuju ke akhirat seperti menunaikan sembahyang lima waktu dan membaca Al-Quran. Oleh itu, Maizatul berharap pelajar-pelajar sekolah ugama tidak akan mengambil ringan dalam mempelajari pelajaran ugama.

ARTIKEL YANG SAMA