Sentiasa prihatin

Sentiasa prihatin

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke tiga buah institusi persekolahan Arab di ibu negara pagi tadi.

Lawatan ini menunjukkan keprihatinan Baginda yang berterusan dalam perkembangan institusi persekolahan Arab serta meninjau lebih dekat lagi tahap dan kualiti pendidikan persekolahan berkenaan.

Persekolahan Arab di negara ini secara keseluruhan menitik beratkan kepentingan pengajian ugama dan umum secara bersepadu menggunakan Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Baginda Sultan memulakan keberangkatan lawatan ke Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB) dan telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Guru Besar Sekolah, Dayang Sarimah binti Haji Ahmad.

Baginda Sultan memulakan sesi lawatan meninjau pembelajaran murid-murid Tahun 5 dan 6. Baginda seterusnya berkenan meninjau ke bilik-bilik guru, bilik syifa bagi Unit Medik, Dewan Mesyuarat dan dewan makan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenaan berangkat ke SPABSB semalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenaan berangkat ke SPABSB semalam.
Baginda Sultan ketika berkenan menyertai para pelajar untuk menunaikan solat fardu Zohor berjemaah di Surau SMALHB.
Baginda Sultan ketika berkenan menyertai para pelajar untuk menunaikan solat fardu Zohor berjemaah di Surau SMALHB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berangkat tiba bagi lawatan di SPABSB.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berangkat tiba bagi lawatan di SPABSB.

SPABSB terletak di Kilometer 2, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1984 bagi menampung kemasukan awal murid-murid perempuan ke persekolahan Arab.

SPABSB ini mempunyai 30 buah bilik kelas dan dilengkapi dengan dua bilik ICT, bilik pentadbiran, bilik mesyuarat, sebuah kantin dan pondok pengawal keselamatan.

SPABSB menawarkan Mata pelajaran Teras Ugama iaitu Al-Quran, Bahasa Arab dan At-Tarbiyyah Ad-Diniyyah; Mata Pelajaran Teras (Umum) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan MIB; sementara Matapelajaran Wajib adalah Social Studies, Khat Amali Agama, ICT dan Pendidikan Jasmani.

Sehingga ke hari ini, SPABSB mempunyai keramaian 959 orang yang terdiri daripada guru-guru seramai 84 orang, 24 orang kakitangan dan murid-murid seramai 851 orang iaitu 476 pelajar Tahun 5 dan 375 orang pelajar Tahun 6.

Baginda Sultan kemudian berkenan meneruskan lawatan ke Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) dan dijunjung oleh Pengetua Sekolah, Hajah Rusidah binti Haji Talip.

Sekolah Ugama Arab telah memulakan pengajiannya di Bangunan Madrasah, Jabatan Hal Ehwal Ugama pada 1 Mac 1966 bersamaan 9 Zulkaedah 1385 Hijrah. SUAMPRIPAD pula dibina dan diguna pakai pada 13 Jun 1967.

SUAMPRIPAD menempatkan 1,197 orang pelajar yang menuntut di dalam Tahun 7 hingga 11. Sekolah ini mempunyai tanggungjawab yang besar dalam merealisasikan visinya ’Mewujudkan Bangsa Brunei Yang Beriman, Berilmu, Beramal, Berkemahiran dalam Pelbagai Bidang untuk Kesempurnaan dan Kebahagiaan Hidup di Dunia dan di Akhirat’. Para pelajar yang bersekolah di sini berpeluang mengikuti peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Peperiksaan GCE ’O’ Level sebelum tamat pengajian.

Baginda Sultan ketika berkenan beramah mesra bersama pelajar SMALHB.
Baginda Sultan ketika berkenan beramah mesra bersama pelajar SMALHB.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama pelajar SUAMPRIPAD.
Baginda Sultan berkenan beramah mesra bersama pelajar SUAMPRIPAD.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai di SMALHB.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai di SMALHB.

Turut mendapat perhatian Baginda Sultan ialah prasarana dan kemudahan sekolah seperti tempat laluan dan letak kereta, dewan makan, surau dan bilik-bilik guru. Baginda juga berkenan membuat lawatan ke beberapa buah kelas bagi pelajar Tahun 7 dan berkesempatan meninjau murid-murid yang sedang menjalani Latihan Peperiksaan SPUB dan Peperiksaan ’O’ Level.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan meneruskan lawatan ke Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dan dijunjung oleh Pengetua Sekolah, Hajah Norjainah binti Haji Buntar.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mula-mula dijunjung bagi menyaksikan galeri sekolah yang mengetengahkan pencapaian SMALHB sepanjang 50 tahun penubuhannya.

SMALHB mempunyai seramai 91 orang pegawai dan kakitangan. Terdapat 60 orang pegawai dan guru di sekolah ini yang mana 56 daripadanya terdiri daripada warga tempatan. Terdapat 491 orang pelajar menuntut di SMALHB iaitu 312 orang di Tahun Pra U1 dan 179 orang di Tahun Pra U2 dalam bidang pengajian Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab.

Dengan misi sekolah untuk ’Melahirkan Pelajar Yang Berpengetahuan, Sihat, Ber-akhlak Mulia, Bertaqwa dan Berketerampilan’, SMALHB adalah mekanisme penting dalam menjana warga negara yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berkualiti serta mengmamalkan nilai-nilai Islam berlandaskan Al-Quran dan Sunnah agar Negara Brunei Darussalam menjadi Negara Zikir yang tulen.

Sebelum menamatkan lawatan, Baginda Sultan berkenan menyertai para pelajar untuk menunaikan solat fardu Zohor berjemaah di surau sekolah berkenaan. Surau SMALHB telahpun diubahsuai dan dinaiktaraf pada 30 Jun 2015 dengan anggaran perbelanjaan seba-nyak $217,321.00 dan boleh menampung sejumlah 400 orang jemaah.

Turut hadir dalam lawatan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke institusi persekolahan Arab ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Yahya bin Haji Idris; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof, timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para pegawai kanan di kementerian tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA