Sentiasa semangat mendalami ilmu Al-Quran

Sentiasa semangat mendalami ilmu Al-Quran

Oleh Mohamad Asyramisyanie & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun – Semangat jitu ingin mempelajari kalam Allah dan sentiasa memanfaatkan sokongan serta kepercayaan ibu bapa menjadi pendorong kepada kekuatan salah seorang pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1437 Hijrah sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, semalam.

Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran meskipun sedikit gementar bercampur gembira membaca ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan Baginda Sultan, berjaya merangkul gelaran juara Kategori C pertandingan itu.

Menurutnya lagi, untuk menghafal Al-Quran, beliau sering kali mengulangi bacaannya dengan memanfaatkan medium elektronik seperti radio untuk memantapkan bacaan dan hafalan selain memanfaatkan waktu luang cuti untuk melebihkan bacaan terutama selepas solat.

Manakala bapanya, Awang Mohd Saiful Ashreen bin Mohd Janai ketika ditemu bual wartawan Media Permata, melahirkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan anak mereka. Ibunya pula, Dr Hajah Noorsuhana binti Haji Sulung menyatakan mereka sering memberi sokongan kepada anak-anak dan sentiasa memastikan mereka menelaah bacaan dan pemahaman masing-masing.

Dayangku Hurol Hafizah bersama keluarganya ketika ditemui sejurus selepas majlis tersebut semalam.
Dayangku Hurol Hafizah bersama keluarganya ketika ditemui sejurus selepas majlis tersebut semalam.
Awang Abdul Aziz bersama keluarga sejurus selepas majlis.
Awang Abdul Aziz bersama keluarga sejurus selepas majlis.

Mereka yang juga mendatangkan seorang ustaz untuk mengajar Awang Abdul Aziz, menjelaskan, sokongan ibu bapa dan menanamkan sikap suka membaca Al-Quran dalam diri anak-anak semenjak kecil lagi boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa lain.

Dalam pada itu, juara Kategori E, Dayangku Hurol Hafizah binti Pengiran Haji Tejudin ternyata tidak mensia-siakan kecanggihan teknologi terkini dan memanfaatkannya ke arah kebaikan apabila banyak menggunakan pemain MP3 untuk mendengar bacaan imam-imam terkenal bagi memperbetulkan bacaannya.

“Membaca ayat berulang ada kalanya mencabar, namun ia dapat ditangani apabila saya membiasakan diri membaca dan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran ini.

“Kejayaan ini juga merupakan satu rezeki dan berharap saya dapat terus menghafal Al-Quran ini pada masa akan datang.”

Beliau yang merupakan guru di Institut Tahfiz Al-Quran menyertai pertandingan ini buat kali ketiga dan bersyukur kerana mendapat bimbingan dan sokongan bukan sahaja daripada gajet teknologi, malahan suami beliau sendiri yang juga pernah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA