Sentiasa tanai tanggungjawab yang diamanahkan

Sentiasa tanai tanggungjawab yang diamanahkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Pengurniaan Pingat Kerja Lama (P.K.L) kepada para penerima merupakan satu galakan serta dorongan semangat kepada para penerima dan juga kepada warga perkhidmatan awam negara untuk sentiasa memperkukuhkan lagi tahap prestasi kerja serta pencapaian dalam menanai tanggungjawab yang diamanahkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Hal Ehwal Korporat dan Pentadbiran Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Yahya bin Haji Idris selaku pengerusi majlis dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penyampaian Pingat Kerja Lama (P.K.L) JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 2014 dan 2015.

“Kita juga hendaklah mempunyai tekad dan azam untuk terus berjuang dalam mendukung dan melaksanakan semua inisiatif dan usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semata-mata demi kecintaan dan kasih sayang kita kepada raja, agama dan negara,” tambah Awang Yahya pada majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan JPM, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian P.K.L kepada para penerima ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Hayati binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh, pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pesuruhjaya Polis, juruaudit agung, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman semasa menyempurnakan penyampaian pingat kepada para penerima.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman semasa menyempurnakan penyampaian pingat kepada para penerima.

pg08_160623_c

pg08_160623_a

Awang Yahya dalam kata alu-aluannya juga menyatakan bahawa para penerima yang diraikan merupakan warga perkhidmatan awam yang telah memberikan perkhidmatan sangat baik serta telah menyumbang jasa bakti kepada kerajaan.

Di samping itu, mereka juga menunjukkan kebolehan dan keupayaan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi dan beretika tinggi.

Penyampaian P.K.L kepada seramai 335 orang pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya itu adalah bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-68 tahun bagi tahun 2014 dan ke-69 tahun bagi tahun 2015.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Mudim Haji Amran bin Salleh dan diikuti oleh ucapan alu-aluan Awang Yahya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian pingat kepada para penerima oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mudim Haji Amran.

Penganugerahan pingat berkenaan adalah sebagai tanda penghargaan dan bukti kepada penerima atas jasa bakti mereka kepada raja, kerajaan dan tugasan yang diamanahkan.

Salah seorang penerima dari Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Hajah Ayisah binti Haji Mohd Salleh dalam temu bual ringkas Media Permata berkata, penganugerahan pingat itu merupakan satu pengiktirafan di atas khidmat dan bakti sebagai seorang warga perkhidmatan awam.

Ia merupakan satu anugerah yang amat bermakna baginya yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 26 tahun di mana pingat itu adalah imbalan bagi perkhidmatannya.

Mengulas mengenai pesanannya kepada warga perkhidmatan awam yang baru berkhidmat, Hajah Ayisah menyeru mereka supaya mempunyai sikap komited dengan kerja, menggunakan ilmu yang ada dengan sebaik-baiknya dan terus meningkatkan ilmu pengetahuan mereka, di mana usaha dan komitmen itu mampu menjadi motivasi bagi mereka untuk terus berkhidmat dengan tekun serta amanah.