Sentiasa waspada

Sentiasa waspada

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Penunggang basikal disaran agar sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan berwaspada ketika menunggang basikal terutama pada waktu malam dengan memastikan mereka dilengkapi peralatan keselamatan dan dapat dilihat dengan jelas oleh para pemandu.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Pengurus Pasukan Basikal, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MSPDB), Ketua Inspektor Mohd Ismail bin Abdullah dalam temu bual bersama Media Permata sebelum Acara Night Safety Ride yang bermula di Kawasan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

Menurut beliau, idea untuk mengadakan acara berbasikal itu, lahir daripada hasrat untuk memberi kesedaran kepada para penunggang agar sentiasa mengutamakan keselamatan mereka ketika menunggang basikal di jalan raya serta untuk meningkatkan kewaspadaan kepada semua pengguna jalan raya untuk berhati-hati apabila memandu.

Beliau berkata bahawa terdapat penunggang yang kurang berwaspada ketika menunggang basikal dan sikap lalai itu boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

S/Supt Haji Awang Mohd Hassan melepaskan para peserta ekspedisi berkenaan.
S/Supt Haji Awang Mohd Hassan melepaskan para peserta ekspedisi berkenaan.
Ketua Inspektor Mohd Ismail ketika berucap mengenai tujuan acara itu adalah untuk meningkatkan kesedaran amalan menunggang basikal dengan selamat.
Ketua Inspektor Mohd Ismail ketika berucap mengenai tujuan acara itu adalah untuk meningkatkan kesedaran amalan menunggang basikal dengan selamat.
Atas & Bawah: Antara penunggang-penunggang basikal yang menyertai acara itu.
Atas & Bawah: Antara penunggang-penunggang basikal yang menyertai acara itu.

pg07_160601_c

Dengan mengamalkan sikap menunggang basikal yang selamat dan berhati-hati bukan saja mereka dapat menjaga keselamatan masing-masing tetapi juga keselamatan para pengguna jalan raya yang lain.

Hadir memberikan sokongan dan menyempurnakan pelepasan para peserta ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran Am dan Kewangan merangkap Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Polis Diraja Brunei, S/Supt. Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.

Acara itu dimulakan dengan taklimat keselamatan dan sesi memanaskan badan sebelum lebih 100 orang penunggang basikal memulakan ekspedisi sejauh kira-kira 50 kilometer yang bermula dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Acara itu dihasratkan akan menjadi acara berterusan dengan harapan untuk meningkatkan kesedaran penunggang basikal dan juga pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta berwaspada ketika berada di jalan raya.

ARTIKEL YANG SAMA