Sentimen SME di S’pura terus merosot

Sentimen SME di S’pura terus merosot

SINGAPURA, 30 Dis – Sentimen syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura merosot buat lima suku tahunan berturut-turut, mencerminkan kurangnya rasa optimis firma mengenai prospek tahun depan, menurut Indeks SME Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF)-DP Information Group.

Indeks itu susut kepada 51.1 mata – paras terendah sejak indeks itu mencecah 50.8 pada suku pertama 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Ho Meng Kit, berkata kemerosotan lima suku tahunan itu merupakan ‘satu trend yang membimbangkan dan SME perlu bangkit daripada pemikiran yang tidak berubah.’

“Dengan penekanan terhadap penjanaan nilai, perniagaan tidak lagi mampu terus melaksanakan model perrniagaan yang sama yang memberikan pertumbuhan di masa lampau.

“Pemerintah dan masyarakat peniaga terpaksa bekerja bersama membangunkan paradigma baru di mana terdapat lebih banyak usaha sama, serta memanfaatkan kekuatan satu sama lain bagi membangunkan ekonomi masa depan Singapura termasuk dalam sekitaran tidak menentu,” ujarnya.

Pemandangan Hotel Marina Bay Sands di sepanjang Marina Bay, Singapura yang dirakamkan awal bulan ini. SME di Singapura merosot buat lima suku tahunan berturut-turut, mencerminkan kurangnya rasa optimis firma mengenai prospek tahun depan, menurut Indeks SME Persekutuan Perniagaan Singapura. – Reuters
Pemandangan Hotel Marina Bay Sands di sepanjang Marina Bay, Singapura yang dirakamkan awal bulan ini. SME di Singapura merosot buat lima suku tahunan berturut-turut, mencerminkan kurangnya rasa optimis firma mengenai prospek tahun depan, menurut Indeks SME Persekutuan Perniagaan Singapura. – Reuters

Bacaan 50 mata menunjukkan SME agak neutral mengenai prospek dan menjangkakan tidak ada pertumbuhan besar bagi dua suku mendatang.

Indeks yang mengukur sentimen perniagaan SME bagi enam bulan mendatang itu meninjau 3,600 SME dalam enam industri.

Indeks bagi dagangan, pengilangan, runcit/makanan dan minuman (F&B), khidmat perniagaan, dan pengangkutan/penyimpanan merosot, manakala kejuruteraan/binaan tidak berubah.

Semua komponen utama indeks menunjukkan kemerosotan – pertama kali sejak indeks itu diperkenalkan pada 2010.

SME kurang optimis mengenai semua aspek operasi daripada pengambilan pekerja, perluasan perniagaan hingga kepada pelaburan modal. Jangkaan penjualan juga susut mencapai 5.22 mata – yang terendah pernah dicatatkan.

Prospek keuntungan juga merosot kepada paras rekod terendah sebanyak 5.08. Lima daripada enam industri menunjukkan rasa optimis yang merosot mengenai keuntungan mereka, manakala kejuruteraan/binaan tidak berubah.

Ketua Pegawai Operasi (COO) DP Info, Lincoln Teo, berkata penyejagatan harus berada dalam agenda utama SME dan mereka perlu mendapat peluang alternatif di luar Singapura. – BHS

ARTIKEL YANG SAMA