Sentuhan oriental menakjubkan di Lembah Inggeris

Sentuhan oriental menakjubkan di Lembah Inggeris

LONDON – Festival Tanglung telah diadakan baru-baru ini di dua buah bandaraya utama di Britain iaitu Birmingham dan Leeds yang setentunya dimeriahkan dengan keindahan suasana cahaya oriental.

Pada dasarnya ia adalah kesinambungan daripada perayaan tanglung yang telah diadakan di London bersempena dengan Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan pada awal tahun ini.

Justeru, kini perayaan yang sama telah diadakan buat julung-julung kalinya di bandaraya kedua terbesar di Britan iaitu Birmingham dan Leeds yang juga merupakan ibu kota kepada Yorkshire di utara England.

Weli Creative yang merupakan penganjur dan pencipta yakin bahawa festival tanglung yang diadakan di kedua-dua buah bandaraya itu berjaya menarik ribuan pengunjung di mana mereka berpeluang untuk menyaksikan keindahan tradisi China yang telah diamalkan sejak berkurun yang lalu.

Mereka percaya bahawa festival tanglung ini mampu untuk memberi saingan hebat kepada acara Blackpool Illuminations yang sangat ikonik di Britain.

Antara rekaan tanglung menarik dan menakjubkan yang dipersembahkan.
Antara rekaan tanglung menarik dan menakjubkan yang dipersembahkan.
Konsep budaya China tetap diterapkan pada rekaan tanglung yang dipersembahkan di dua buah taman utama di London itu.
Konsep budaya China tetap diterapkan pada rekaan tanglung yang dipersembahkan di dua buah taman utama di London itu.

Perayaan tanglung ini diadakan pada 25 November yang bakal berlarutan sehingga 2 Januari 2017 di Taman Botani di Birmingham dan Taman Roundhay di Leeds yang merupakan taman terbesar di Eropah.

Dengan sokongan daripada badan-badan rasmi di kedua-dua buah bandaraya itu, acara tersebut jelas di sambut dengan sangat gilang-gemilang di mana ia menampilkan pelbagai jenis rekaan tanglung yang sangat menakjubkan direka dari China.

Maka beberapa rekaan tradisi China seperti panda, belalang, sangkar burung dan pagoda turut ditampilkan pada tanglung-tanglung yang dipamerkan sewaktu festival ini.

Pintu masuk utama festival tersebut dihiasi dengan seni bina tanglung yang sangat menakjubkan dan bakal di sambut dengan aneka jenis tanglung yang terdiri daripada pelbagai bentuk, warna dan saiz di sepanjang taman tersebut.

Tanglung berbentuk gergasi menanti kehadiran pengunjung di pintu masuk utama pada persembahan tanglung di London.
Tanglung berbentuk gergasi menanti kehadiran pengunjung di pintu masuk utama pada persembahan tanglung di London.

Menjelang Hari Krismas yang bakal tiba tidak lama lagi, hiasan yang menerapkan konsep perayaan tersebut seperti reindeers, orang salji dan penguin juga turut menjadi pilihan kepada rekaan yang ditampilkan di taman tersebut.

“Festival tanglung ini telah berjaya menerima kunjungan daripada seramai 110,000 pengunjung di London dan kini ia kembali lagi memeriahkan suasana di Taman Botani Birmingham dan Taman Roundhay di Leeds buat julung-julung kalinya sempena Hari Krismas dan Sambutan Tahun Baru Cina,” jelas salah seorang jurucakap Weli Creative yang berpangkalan di London.

“Pengunjung jelas akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menikmati pelbagai rekaan tanglung yang penuh artistik dan kreatif di luar China sekaligus terus memelihara budaya dan warisan negara itu,” tambah beliau.

“Kebanyakan tanglung yang dipersembahkan di dua buah lokasi itu dihasilkan di tempat asal saya dan misi Weli Creative adalah untuk bertukar-tukar nilai budaya dan adat di antara China dan United Kingdom khususnya bagi mempersembahkan keindahan budaya oriental di Lembah Inggeris,” jelas Yan Xiang. – Xinhua