Sentuhan persembahan muzikal

Sentuhan persembahan muzikal

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Relentless Entertainment Brunei akan mengadakan persembahan muzik tahunannya bertajuk ‘BELLE’ pada 1 hingga 3 April ini di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Relentless Entertainment, produksi muzikal amal juga meraikan dua sambutan iaitu ulang tahunnya yang ke-9 dan bulan kesedaran Autisme Sedunia yang jatuh pada setiap bulan April.

Diluluskan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, acara berkenaan akan menjadi kali ke-3 Relentless Entertainment menganjurkan persembahan muzik pada skala besar.

Produksi muzikal pertama mereka yang asal adalah ’Enchanted Forest’ pada tahun 2013 dan tahun lepas mereka menghasilkan ‘Poppins’ dengan kedua-dua muzikal diadakan di Amfiteater Jerudong Park.

Dengan mengetengahkan lebih daripada 40 orang belia tempatan, ‘BELLE’ The Musical itu bertujuan untuk mempamerkan bakat-bakat muda yang bercita-cita tinggi dalam bidang lakonan, nyanyian dan tarian, pada masa yang sama memberi semua krew (tambahan 50 orang) pengalaman bekerja di belakang tabir pada persembahan muzik.

Latihan yang kini giat dijalankan.
Latihan yang kini giat dijalankan.
Lebih 40 orang belia tempatan akan turut serta dalam persembahan itu.
Lebih 40 orang belia tempatan akan turut serta dalam persembahan itu.

Seperti dalam muzikal mereka sebelum ini, ‘BELLE’ juga merupakan acara amal di mana sebahagian daripada hasil jualan akan didermakan kepada SMARTER Brunei di mana SMARTER juga akan mempunyai pameran bagaimana pusat tersebut membantu dan menyumbang kepada masyarakat di ruang legar JIS nanti.

Misi Relentless Entertainment adalah untuk menyediakan pengalaman pendidikan yang unik melalui teater muzik untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa yang menyuburkan badan dan minda dalam persekitaran kreatif dengan matlamat mereka adalah untuk menggunakan seni teater muzikal sebagai kenderaan membangunkan individu sihat dan yakin serta yang serba boleh yang mempunyai rasa nilai dan kekitaan di dunia.

Tahun ini, ‘BELLE’ akan mengadakan tiga persembahan, iaitu jam 7:45 malam pada 1 dan 2 April, serta persembahan matinee pada 3 April jam 1:30 petang.

Tiket-tiket boleh dibeli di Kedai Patisserie Cake (Mata-Mata), Restoran Misato Jepun (Kiulap & Mabohai), KFC (The Mall), The Escape Experience (Setia Kenangan II, Kiulap) dan Relentless Studios.

Muzikal ‘BELLE’ ini disokong oleh Pelancongan Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kompleks Membeli-belah Mabohai, manakala itu, penaja acara tersebut ialah Bank Baiduri, Pizza Hut Brunei, KFC Brunei, Patisserie Cake Shop, Misato Restoran Jepun, Desari PMC, The Faceshop, Dragons dan Pixie Dust, Neo Classic Music School dan Kristal FM.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah mengikuti mereka di media sosial Instagram @relentlessbrunei.

ARTIKEL YANG SAMA