Sentuhan Zidane menjadi

Sentuhan Zidane menjadi

MADRID, 10 Jan (AFP) – Zinedine Zidane lulus ujian pertama sebagai jurulatih Real Madrid dengan Gareth Bale mencipta hatrik bagi membantu kelab gergasi itu membelasah Deportivo La Coruna 5-0 dalam saingan Liga Sepanyol, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Real hanya ketinggalan dua mata di belakang Barcelona selepas juara Eropah itu turut merakam kemenangan bergaya 4-0 ke atas Granada dengan Lionel Messi meledak hatrik.

Zidane menerima sambutan wira daripada penyokong Real selepas menggantikan Rafael Benitez yang dipecat awal minggu ini dan anak buahnya tidak menunggu lama untuk mendahului menerusi jaringan Karim Benzema pada minit ke-15.

Bale kemudiannya mencuri tumpuan apabila merekodkan hatrik kedua dalam empat perlawanan sebelum Benzema melengkapkan kemenangan pada lewat babak perlawanan.

“Setiap kali kamu menang, kamu perlu gembira. Apa yang paling gembira adalah perwatakan yang ditunjukkan seluruh pasukan.

Gareth Bale (kiri) yang berjaya mencipta hatrik dalam perlawanan tersebut. – Reuters
Gareth Bale (kiri) yang berjaya mencipta hatrik dalam perlawanan tersebut. – Reuters

“Ia bukan mudah untuk menjaringkan lima gol menentang pasukan seperti Deportivo,” kata Zidane.

Sementara itu, di Nou Camp, Messi membuktikan dia layak menerima anugerah Pemain Terbaik Dunia Tahunan apabila mencipta hatrik buat kali pertama tahun ini.

Messi dijangka mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Neymar dan penyandang anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo, esok selepas mengetuai Barcelona meraih gelaran ‘treble’ dalam saingan Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol dalam tempoh enam tahun.

“Dia adalah pemain yang unik dan sukar diramalkan. Ia membuktikan dia sentiasa bermotivasi tinggi untuk terus mempamerkan peningkatan setiap tahun,” kata jurulatih Barcelona, Luis Enrique.

ARTIKEL YANG SAMA