Seorang bebas hukuman, seorang dipenjara

Seorang bebas hukuman, seorang dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151110_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Seorang lelaki Malaysia terlepas daripada menjalani hukuman penjara dua bulan selepas membayar denda $2,000 yang dijatuhi Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki rokok dan minuman keras yang tidak diisytiharkan.

Ting Kwong Ngee, 21, mengaku bersalah di hadapan Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin kerana memiliki dua karton rokok, 24 tin minuman keras dan lima botol arak ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 3 November 2015.

Pegawai kastam yang bertugas menemui rokok dan minuman keras itu di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang dan dalam pembesar suara di bahagian but kereta.

Pegawai Pendakwa Kastam dalam fakta kes menyebut, duti eksais rokok yang seharusnya dibayar oleh defendan ialah $100 manakala duti eksais untuk minuman keras ialah $78.

Majistret Kanan mengarahkan kesemua barang dalam senarai rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.

Dalam bilik mahkamah yang berasingan, seorang lelaki tempatan terpaksa meringkuk di penjara selama 18 bulan selepas gagal membayar denda $40,000.

Muhammad Ghauth bin Haji Sabli, 24, sebelum ini didakwa pada 8 Jun 2015 atas pertuduhan memiliki 146 karton rokok dalam keretanya di kawasan Jalan 99, RPN Kampung Rimba pada 1 Januari 2013 sekitar jam 9:15 pagi.

Dalam sebutan semakan hari ini, defendan didapati gagal untuk menjelaskan denda dalam tempoh enam bulan yang diberikan.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli mengarahkan hukuman defendan bermula hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA