Seorang ditembak mati, 2 ditahan berhampiran Shangri-La Hotel

Seorang ditembak mati, 2 ditahan berhampiran Shangri-La Hotel

SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) – Seorang lelaki ditembak mati dan dua ditahan dalam satu kejadian berhampiran Hotel Shangri-La di sini pada 4.36 pagi Ahad, kata polis.

Dalam catatan laman Facebook, polis berkata sebelum itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan berhenti di pusat pemeriksaan kenderaan di Ardmore Park.

Apabila diminta membuka tempat menyimpan barang untuk diperiksa, pemandu kereta berkenaan tiba-tiba memecut ke arah Anderson Road.

Walaupun polis memberi amaran supaya berhenti, pemandu itu merempuh sekatan polis dan membahayakan nyawa para pegawai bertugas.

Untuk mencegah bahaya lebih besar, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta itu dan menyebabkannya berhenti di persimpangan Orange Grove Road dan Anderson Road, kata catatan itu.

Lubang peluru kelihatan di hadapan cermin depan sebuah kereta sedan merah yang terlibat dalam insiden penembakan berhampiran Hotel Shangri-La di Singapura, 31 Mei. Polis Singapura menembak mati seorang dan menahan dua lagi awal hari ini selepas kereta mereka merempuh sekatan polis di mana Setiausaha Pertahanan AS Ash Carter tinggal. – Reuters

Polis berkata, bahan dipercayai dadah ditemukan pada seorang daripada lelaki yang ditahan.

Berikutan itu, Orange Grove Road, Anderson Road dan Ardmore Park ditutup sementara untuk memudahkan operasi polis dan orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan.

Bersempena Dialog Shangri-La IISS Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-14 yang berlangsung sekarang, langkah keselamatan, termasuk pusat pemeriksaan kenderaan dan orang, diadakan di sekitar Shangri-La Hotel.

Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak itu, yang berakhir Ahad.