Seorang ibu terdesak mencuri

Seorang ibu terdesak mencuri

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151026_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Seorang ibu kepada empat orang anak yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan kesalahan mencuri tidak pernah serik melakukan jenayah itu apabila sekali lagi ditangkap mencuri produk kebersihan diri di Pasaraya Hua Ho Tanjung Bunut di sini, pada 23 Oktober.

Noraziah binti Rosli, 33, mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain, dan dijatuhi lapan bulan penjara, berkuat kuasa semalam.

Terdahulu, tertuduh merayu kepada mahkamah untuk menangguhkan hukumannya kerana dia ingin bertemu dengan salah seorang anaknya yang menghadapi masalah buah pinggang.

“Saya pernah berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan ini tetapi anak-anak saya tidak ada yang menjaga, tambahan lagi saya memerlukan wang,” kata tertuduh yang turut mengaku dia baru sahaja keluar dari penjara atas kesalahan yang sama.

Tertuduh memberitahu dia memerlukan wang untuk membiayai perubatan anaknya dan juga perbelanjaan sekolah anak-anaknya yang berusia antara 10 hingga 17 tahun.

Tiga daripada anaknya telah pun diberhentikan sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk membayar yuran yang tertunggak.

“Mahkamah bersimpati ke atas kamu yang menghadapi beban kewangan tetapi mahkamah tidak dapat memaafkan perbuatan kamu meskipun kamu terdesak untuk mendapatkan wang.

“Perbuatan kamu ini hanya menyebabkan anak-anak kamu kehilangan perlindungan di mana kamu sepatutnya mencari pekerjaan yang jujur walaupun bayaran yang diberikan hanya sedikit,” kata Majistret Kanan.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh pergi ke Pasaraya Hua Ho Tanjung Bunut dan membawa bersama kantung kitar semula untuk mencuri 72 botol deodoran; tiga botol syampu; dua botol krim mandian dan satu botol perapi rambut.

Tertuduh kemudian meninggalkan barang-barang yang tidak dibayarnya itu di pondok jualan di tingkat satu Hua Ho, dan pergi ke tandas.

Selepas keluar dari tandas, tertuduh perasan dia diekori, lalu masuk ke dalam lif untuk turut ke tingkat bawah.

Tertuduh bagaimanapun ditahan sebaik keluar dari lif oleh seorang pengawal keselamatan yang ingin memeriksa isi kandungan begnya.

Tertuduh memberitahu pengawal itu bahawa dia hendak berjumpa anaknya yang menunggunya di luar bangunan, dan terus melarikan diri ke perhentian bas.

Pengawal keselamatan yang mengekorinya terus membawa tertuduh kembali semula ke dalam bangunan untuk menunggu ketibaan polis.

Kesemua barangan yang bernilai $175.55 itu telah ditemui semula setelah diberitahu oleh tertuduh di mana dia menyimpannya.

Tertuduh sebelum ini pernah terlibat dalam kes mencuri di pasar raya pada 2014 dan Julai 2015.

ARTIKEL YANG SAMA