Seorang lagi doktor tempatan diiktiraf antarabangsa

Seorang lagi doktor tempatan diiktiraf antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Seorang lagi konsultan perubatan di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini, menerima penganugerahan ‘Fellowship’ daripada institusi perubatan terkemuka di United Kingdom.

Dato Seri Laila Jasa Doktor Mohammad Arif bin Abdullah, yang merupakan Konsultan di Jabatan Perubatan Dalaman di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah dianugerahkan ‘Fellowship’ oleh Royal College of Physician, Edinburgh pada 20 April 2015.

Majlis penganugerahan itu diadakan di pejabat Royal College of Physicians, Queen Street, Edinburgh, Scotland yang didahului dengan menandatangani buku ‘Fellowship’ dan seterusnya penyampaian anugerah tersebut yang disempurnakan oleh Naib Presiden Royal College of Physician, Edinburgh, Dr John Wilson.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, penganugerahan tersebut diberikan atas jasa beliau dalam peningkatan pembelajaran perubatan untuk mahasiswa-mahasiswa dan lepasan ijazah di Negara Brunei Darussalam.

Beliau juga telah menyelenggarakan peperiksaan lepas ijazah Membership of the Royal Colleges of Physicians (MRCP) Practical Assessment of Clinical Examination Skills (PACES) di Negara Brunei Darussalam dengan jayanya, dan atas kejayaan ini, MRCP PACES akan diselenggarakan di Universiti Brunei Darussalam dua kali setahun.

Dato Seri Laila Jasa Doktor Mohammad Arif dan rombongan dari Unit Perubatan Akut, Hospital RIPAS bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan di Victoria Hospital, NHS Fife semasa lawatan kerja ke hospital tersebut.
Dato Seri Laila Jasa Doktor Mohammad Arif dan rombongan dari Unit Perubatan Akut, Hospital RIPAS bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan di Victoria Hospital, NHS Fife semasa lawatan kerja ke hospital tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pada masa yang sama, rombongan Unit Perubatan Akut, yang diketuai Dato Seri Laila Jasa Doktor Mohammad Arif Abdullah, telah membuat lawatan kerja ke tiga buah hospital di Edinburgh, Scotland iaitu Royal Larbert Hospital, NHS Forth Valley; Edinburgh Royal Infirmary, NHS Lothian; dan Victoria Hospital, NHS Fife.

Antara objektif lawatan ini adalah bagi mempelajari operasi Unit Perubatan Akut, tatacara kemasukan pesakit dari Unit Kecemasan hingga ke Unit Perubatan Akut, serta mempelajari pengendalian pesakit di Unit Perubatan Akut di hospital-hospital tersebut.

Dengan adanya lawatan ini, Unit Perubatan Akut, Hospital RIPAS berharap akan dapat mempelajari dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan unit tersebut yang lebih efisien, efektif dan selamat kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam di samping mengukuhkan kapasiti untuk mengadakan latihan dalaman (in-house training) bagi doktor-doktor dan juga jururawat-jururawat di masa yang akan datang. Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menyatakan, pakar-pakar dan doktor di kementerian itu sebelum ini juga pernah diberi pengiktirafan tinggi dan menerima penganugerahan oleh Royal Colleges di United Kingdom seperti juga dalam bidang penjagaan kesihatan asasi, kesihatan cara kerja dan kesihatan mental.

Penganugerahan peringkat antarabangsa kepada pakar-pakar dan doktor tempatan di bawah kementerian berkenaan merupakan satu pengiktirafan berprestij yang bukan sahaja memberi penghormatan kepada profesional kesihatan malahan juga membuktikan keupayaan negara dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan sekali gus menyumbang kepada pengukuhan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara yang komprehensif dan berkualiti tinggi.