Seorang lagi terima rumah Projek Julangan Titah

Seorang lagi terima rumah Projek Julangan Titah

Oleh Norhamizan bin Haji Mosbi

 

TEMBURONG, 21 Jun – Seorang lagi penerima yang kurang berkemampuan menerima bantuan di bawah Projek Julangan Titah.

Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku ahli Jawatankuasa Projek Julangan Titah menyerahkan rumah tersebut kepada Dayang Siti Mariam binti Abdullah di Kampung Kenua, Jalan Temada, Temburong pagi tadi.

Penyerahan bantuan berkenaan adalah sebagai menyahut seruan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sering Baginda kurniakan khususnya yang menggalakkan sesama masyarakat supaya bantu-membantu ke arah kebajikan.

Projek tersebut dilaksanakan atas usaha Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Julangan Titah dengan rangkaian gabungan kerjasama yang terdiri daripada pegawai-pegawai Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kementerian Pembangunan khususnya dari Jabatan Kerja Raya, Jabatan Tanah dan Jabatan Ukur yang bertindak sebagai Urusetia Khas Projek Julangan Titah dan pemborong yang berkenaan.

Dayang Siti Mariam (duduk) bergambar bersama Dato Paduka Haji Suhaimi dan jemputan yang lain.
Dayang Siti Mariam (duduk) bergambar bersama Dato Paduka Haji Suhaimi dan jemputan yang lain.
Suasana semasa majlis penyerahan rumah Projek Julangan Titah kepada Dayang Siti Mariam (kanan sekali) di Kampung Kenua, Jalan Temada, Temburong, kelmarin.
Suasana semasa majlis penyerahan rumah Projek Julangan Titah kepada Dayang Siti Mariam (kanan sekali) di Kampung Kenua, Jalan Temada, Temburong, kelmarin.

Memandangkan keadaan rumah-rumah penerima yang terpilih tidak selamat untuk didiami, Urusetia Projek Julangan Titah telah mencari jalan keluar supaya pembinaan rumah-rumah yang mendesak keperluannya dapat disiapkan dalam masa yang sesingkatnya iaitu menerusi kaedah binaan inovatif (Innovative Building Method – IBM), yang mana pembinaan rumah sahaja hanya mengambil masa satu bulan.

Jawatankuasa berkenaan telah dapat menyiapkan sembilan buah rumah persendirian termasuk sebuah rumah panjang 15 pintu di bawah Projek Julangan Titah.

Adalah diharapkan inisiatif yang dijalankan bagi membantu orang-orang yang berkeperluan ini dihasratkan akan dapat membolehkan para penerima rumah-rumah berkenaan dan penghuni Rumah Panjang Baru Melilas menyambut bulan Ramadan dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri dengan lebih selesa.

Usaha-usaha ini jelas memperlihatkan sikap prihatin dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sentiasa mengelinga dan menitik beratkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat Baginda, khususnya golongan yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA