Seorang lemas, enam hilang bila bot langgar tongkang

Seorang lemas, enam hilang bila bot langgar tongkang

KUCHING, 2 Jun (Bernama) – Seorang wanita lemas manakala enam lagi hilang apabila bot panjang yang dinaiki lapan sekeluarga karam selepas melanggar tongkang di Sungai Kemena, Bintulu petang tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Balai Bintulu, Di Hata Gobel berkata menurut seorang anggota keluarga yang terselamat dalam insiden itu, enjin bot berkenaan rosak serta tidak dapat berhenti sebelum melanggar tongkang yang berada kawasan membaiki kapal di tebing sungai berkenaan.

“Bot panjang itu kemudiannya terperosok di bawah tongkang berkenaan. Mangsa yang terselamat kemudiannya berenang dan mendapatkan pertolongan dari penduduk kampung.

“Mayat mangsa pertama ditemui pada 4.50 petang oleh penduduk kampung dan telah diserahkan kepada pihak polis,” katanya ketika dihubungi. Menurut Di Hata setakat 8 malam ini, pihaknya bersama bomba sukarelawan Jepak bersama beberapa agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis marin masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.