Seorang maut, 22 cedera protes di India

Seorang maut, 22 cedera protes di India

SRINAGAR, India, 13 Sept – Pertempuran baru mengakibatkan seorang pembantah anti-India terbunuh dan 22 orang lagi cedera di bahagian Kashmir, India hari ini, menurut polis ketika pengetatan keselamatan mencemari perayaan hari raya Adiladha di rantau bertikai itu.

Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan pelet pistol untuk mengekang para pembantah di kawasan Bandipora, utara Kashmir dan Shopian di selatan, dan juga di Srinagar, bandar utama rantau itu, menurut seorang pegawai polis yang merahsiakan identitinya kerana dia tidak dibenarkan untuk bercakap dengan para pemberita.

Bantahan-bantahan mengambil tempat di berbelas-belas tempat di rantau itu dengan pertempuran di tiga tempat peristiwa.

Kedai dan perniagaan ditutup, dengan perintah berkurung dikuatkuasakan di seluruh lembah Kashmir.

Kebanyakan orang terus tidak keluar rumah bagi menyambut festival Aidiladha yang disambut hari ini.  Lazimnya sibuk dengan kegiatan pada masa seumpama itu, pasar Srinagar lengang.

Pihak berkuasa tidak membenarkan perhimpunan solat Aidiladha di masjid-masjid utama dan di kawasan-kawasan di rantau itu, tetapi solat diadakan oleh orang ramai di masjid kawasan kecil.

Perintah berkurung nampaknya telah menggagalkan perarakan yang dirancang yang diadakan oleh ketua-ketua pemisah menuju pejabat pemerhati ketenteraan PBB di Srinagar, yang ditubuhkan untuk memantau gencatan senjata antara India dan Pakistan.

Polis berkata dalam satu kenyataan bahawa pihak berkuasa menggunakan dron dan helikopter untuk mengawasi rantau itu yang dicengkam bantahan selama dua bulan selepas pembunuhan seorang ketua pemberontak popular.– AP

ARTIKEL YANG SAMA