Seorang maut, 3 cedera kereta bertembung di Sandakan

Seorang maut, 3 cedera kereta bertembung di Sandakan

SANDAKAN, 20 Jan – Seorang maut manakala tiga cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta yang bertembung di Kilometer 54 Jalan Sandakan-Lahad Datu berhampiran Kampung Segaliud, semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Mohd Zain berkata mangsa yang maut di tempat kejadian adalah warga Indonesia yang memandu kereta jenis Proton Iswara, dikenali sebagai Dakis Sapi, 41.

Katanya tiga mangsa yang cedera ialah pemandu kereta jenis Proton Saga Mohd Junaidir Omong, 22, dan dua penumpang iaitu Jacqulin Rosalyang, 26, serta Mantasi Diman, 31. Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, siasatan awal mendapati kereta dipandu Dakis menuju ke arah Sandakan memasuki lorong kanan bagi mengelak sebuah lori rosak yang diletakkan di tepi jalan sebelah kiri lalu bertembung kereta dipandu Mohd Junaidir dari arah bertentangan.

Mantasi dan Mohd Junaidir dihantar ke Hospital Kinabatangan manakala Jacqulin dihantar ke Hospital Lahad Datu, untuk rawatan, katanya.

Zabidi berkata mayat Dakis dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Rosmedian Abdul Majid berkata enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.30 malam dan tiba di tempat kejadian sejauh 27 kilometer, 30 minit kemudian.

Menurutnya anggota bomba mengambil masa 30 minit mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. – Bernama