Seorang maut, 5 cedera insiden tikaman di London

Seorang maut, 5 cedera insiden tikaman di London

LONDON, 4 Ogos – Datuk bandar London merayu orang ramai bertenang hari ini selepas satu kejadian tikaman di pusat bandar yang mengakibatkan seorang wanita terbunuh dan lima orang cedera.

Polis menahan seorang tersangka berusia 19 tahun dan berkata petunjuk awal mencadangkan “kesihatan mental merupakan satu faktor dalam serangan dahsyat ini.”

Bagaimanapun, dalam konteks beberapa siri serangan terbaru di Eropah, pihak berkuasa berkata mereka bersikap terbuka dan “keganasan masih merupakan satu faktor yang sedang disiasat.”

Ketua pencegahan keganasan polis di London, Mark Rowley berkata “polis tambahan akan dihantar di jalan raya” ibu negeri hari ini, termasuk pegawai bersenjata, satu pemandangan luar biasa di Britain.

Polis menahan remaja itu selepas laporan kejadian menikam di Russell Square, satu kawasan yang sunyi berhampiran dengan beberapa tarikan pelancong popular termasuk Muzium Britain.

Kerja-kerja pembersihan selepas insiden jenayah yang berlaku di Russell Square London semalam, di mana seorang wanita telah dibunuh dan lima yang lain cedera. – AFP
Kerja-kerja pembersihan selepas insiden jenayah yang berlaku di Russell Square London semalam, di mana seorang wanita telah dibunuh dan lima yang lain cedera. – AFP

Anggota paramedik berusaha menyelamatkan nyawa seorang wanita yang dipercayai berada dalam umur 60an tetapi mengesahkannya mati di tempat kejadian. Dua wanita dan tiga lelaki juga cedera tetapi tidak ada butir-butir yang telah dikeluarkan mengenai keadaan mereka.

Tersangka sendiri dibawa ke hospital selepas dilumpuhkan dengan senapang renjatan elektrik Taser.

Xavery Richert, 22, seorang pelancong Perancis yang menginap di sebuah hostel belia di dataran, memberitahu AFP: “Saya sedang membeli minuman apabila saya terdengar seorang wanita menjerit yang sedang dikejar oleh seorang lelaki.

“Saya sangka ia satu kejadian meragut beg, dia tidak cedera. Saya keluar untuk merokok, dan masuk semula, terdapat anggota bomba, polis dan seterusnya saya melihat mayat di bawah kain. Anda hanya boleh melihat kaki terjulur keluar.”

Penduduk Russell Square Constantine Somerville berkata: “Ia adalah satu kawasan yang selamat dan amat lengang terutamanya pada waktu malam – kenapa pula seseorang mahu melakukan satu serangan di kawasan yang begitu sunyi?” – AFP