Seorang maut dalam kejadian kebakaran

Seorang maut dalam kejadian kebakaran

KOTA KINABALU, 5 Nov (Bernama) – Seorang ibu dan anak lelakinya yang berumur empat tahun maut selepas rumah mereka di Kg Pulai Manang, Beaufort, kira-kira 90km dari sini, terbakar malam tadi.

Ibu yang meninggal dunia dan ditemui rentung itu dikenali sebagai Fazilah Onong, 29, manakala anaknya Adam Alip, 3, yang melecur teruk dalam kejadian itu meninggal dunia setibanya di Hospital Likas untuk rawatan lanjut dari Hospital Beaufort.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin dalam kenyataannya hari ini berkata tiga lagi mangsa turut melecur dalam kejadian itu iaitu Mariam Lingkok, 66, Mohd Salleh Misnan, 50, dan Azhar Onong, 32.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11.37 malam dan sebuah jentera bomba dan dua utiliti berserta tujuh anggota telah dihantar ke lokasi kejadian.