Seorang maut kekecohan di Universiti Papua

Seorang maut kekecohan di Universiti Papua

SYDNEY, 26 Jun (AFP) – Seorang lelaki terbunuh dan beberapa buah bangunan terbakar dalam keganasan di sebuah universiti di Papua New Guinea, menurut naib canselornya hari ini, kira-kira dua minggu selepas pihak polis melepaskan tembakan ke arah para pelajar di ibu negara.

Para pelajar telah membantah Perdana Menteri Peter O’Neill, yang sedang disiasat bagi tuduhan rasuah.

Mahasiswa yang terbunuh di kampus di Lae, bandar kedua terbesar di negara itu, dilaporkan menjadi sasaran di tengah pertempuran berhubung pemulauan kelas yang diadakan sebagai sebahagian dari bantahan.

“Kami percaya itu adalah kumpulan yang sama (yang membunuh pelajar itu dan membakar bangunan),” kata Albert Schram, naib canselor Universiti Teknologi Papua New Guinea.

Menurutnya berbelas-belas lelaki yang membawa batu, kayu dan parang melancarkan serangan pada malam semalam, dan mereka bergerak dengan sangat pantas, dengan itu sangat sukar bagi pasukan keselamatan kami untuk mengekori mereka atau memberkas mereka.”

Schram berkata pelajar itu, dipercayai berusia awal 20an, berada di asrama di kampus itu apabila dia tercedera dalam ‘serangan sasaran’ dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Schram memberitahu AFP serangan itu mungkin serangan membalas dendam kerana pertengkaran kira-kira dua minggu lalu antara para pelajar yang menyokong pemulauan berpanjangan dan yang lain yang mahu menghentikannya.

ARTIKEL YANG SAMA