Seorang pegawai berlepas ke AS

Seorang pegawai berlepas ke AS

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Seorang pegawai di Jabatan Perdagangan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, baru-baru ini telah berlepas ke Amerika Syarikat (AS) sebagai peserta program pertukaran profesional utama AS iaitu Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP).

Menurut kenyataan Kedutaan AS di sini, Setiausaha Kedua di Jabatan Perdagangan, Dayang Mahirah binti Mahusin akan berada di AS selama tiga minggu bermula 21 September hingga 10 Oktober dengan programnya menumpukan kepada perjanjian perdagangan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP).

Sepanjang berada di sana, beliau akan dibawa melawat bandar-bandar AS seperti Washington D.C., Seattle dan Raleigh di Carolina Utara untuk mendalami lagi mengenai bagaimana TPP akan memberi kesan kepada negara-negara anggota termasuk Brunei.

TYT Craig Allen bergambar bersama Dayang Mahirah.
TYT Craig Allen bergambar bersama Dayang Mahirah.

Program itu juga akan meneliti TPP di samping Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebelum ini untuk mengkaji semula amalan-amalan terbaik dan proses-proses bagi perubahan peraturan dan banyak lagi. Brunei Darussalam merupakan salah satu anggota pengasas perjanjian TPP.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum berlepas ke AS, Dayang Mahirah, baru-baru ini, telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Craig Allen.

Semasa pertemuan di Kedutaan AS itu, TYT Craig Allen berkata, “Kedutaan AS berasa bangga kerana berpeluang menaja Dayang Mahirah untuk mewakili Brunei dalam program pertukaran antarabangsa yang penting ini.”

IVLP telah memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan AS-Brunei dengan membawa warga Brunei yang cemerlang ke AS untuk menyertai program-program intensif yang berkaitan dengan kepentingan profesional mereka.

ARTIKEL YANG SAMA