Seorang terbunuh, polis Nepal lepas tembakan

Seorang terbunuh, polis Nepal lepas tembakan

KATHMANDU, 3 Nov (AFP) – Polis Nepal semalam melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang cuba menyekat satu pusat pemeriksaan utama di sempadan negara ini, mengakibatkan seorang warga India terbunuh, ketika kemarahan penduduk memuncak berhubung perlembagaan baharu.

Keganasan itu meletus beberapa jam selepas polis menggunakan kekerasan bagi membubarkan sekatan itu di selatan bandar Birgunj di sempadan India yang menyebabkan berlaku kekurangan bekalan minyak dan menutup akses bagi kemasukan barangan penting lain di negara Himalaya ini.

“Polis memberi amaran supaya penunjuk perasaan bersurai tetapi mereka enggan mematuhi arahan, menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan,” kata jurucakap polis Nepal, Kamal Singh Bam.

“Seorang warga India cedera dan kemudian meninggal dunia selepas dia dibawa ke hospital,” katanya.

Empat anggota polis turut cedera dalam pertempuran di pusat pemeriksaan di Birgunj itu, kata Bam kepada AFP.

Pasukan Polis Nepal telah melepaskan tembakan kepada sekumpulan penunjuk perasaan yang menyebabkan seorang daripadanya terkorban. – Reuters
Pasukan Polis Nepal telah melepaskan tembakan kepada sekumpulan penunjuk perasaan yang menyebabkan seorang daripadanya terkorban. – Reuters

Setiausaha Agung Parti Sadbhawana, Shiva Patel yang menyertai tunjuk perasaan itu berkata, tujuh orang turut cedera dalam insiden itu, termasuk seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang terkena peluru getah.

Sebelum itu, polis menggunakan belantan untuk menyuraikan tunjuk perasaan oleh etnik minoriti Madhesi yang marah dengan pelaksanaan perlembagaan baharu Nepal, yang mereka sifatkan sebagai menindas mereka.

Penduduk etnik itu mahu kerajaan meminda perlembagaan itu kerana mereka merasakan perlembagaan baharu itu akan menghalang lebih ramai masyarakat mereka untuk bertanding menjadi anggota Parlimen.

Lebih 40 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan sejak September lalu.

ARTIKEL YANG SAMA