Seorang wanita, dua lelaki warga Thai terima hukuman

Seorang wanita, dua lelaki warga Thai terima hukuman

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang wanita dan dua lelaki warga Thailand yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengeksploitasi seorang remaja juga warga Thailand untuk aktiviti pelacuran.

Wanita itu dijatuhi empat tahun penjara dan juga denda $30,000 oleh Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli, dan gagal membayar denda akan menyebabkan tertuduh terpaksa meringkuk di penjara selama 30 bulan lagi.

Seorang lelaki turut dikenakan empat tahun penjara dan empat sebatan, serta denda $10,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda manakala rakan sejenayahnya juga menerima nasib yang sama iaitu empat tahun penjara, lima kali sebatan dan denda $20,000 atau berdepan 20 bulan penjara jika gagal membayar.

Ketiga-tiga nama tertuduh tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa, yang mana wanita itu dan salah seorang daripada tertuduh lelaki mempunyai hubungan antara satu sama lain.

mahkamah

Fakta kes yang dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Karen Tan dan Vuina Song menyebut, remaja berusia 17 tahun itu (mangsa) telah meminta bantuan untuk meminjam wang 13,000 baht daripada wanita itu sekitar Februari atau awal Mac 2016.

Mangsa memerlukan wang untuk membantu ayahnya yang mengalami kecederaan kritikal akibat kemalangan kereta.

Wanita itu kemudian mengambil peluang daripada keadaan mangsa dan menawarkannya tiket penerbangan ke Brunei.

Mangsa perlu membayar wanita itu sejumlah $2,000 termasuk tambang penerbangan, penginapan, makanan dan belanja harian.

Mangsa tiba di negara ini pada 5 Mac 2016 dan tinggal bersama wanita itu, dan untuk membayar kesemua hutang, mangsa melibatkan diri dalam khidmat seks yang ditetapkan pada harga $30.

Wanita itu akan menerima $25 dan $5 akan diberikan kepada seorang tertuduh lelaki sebagai komisen jika dia mendapatkan pelanggan untuk mangsa.

Seorang lagi rakan sejenayahnya yang bertindak sebagai pengangkutan menerima $10 hingga $15 untuk menghantar mangsa dari tempat tinggalnya ke tempat khidmat seks.

Mangsa tidak diberikan satu sen pun sehingga dia telah membayar kesemua hutangnya kepada wanita tersebut.

Wanita itu berada di negara ini dengan menggunakan pas lawatan manakala itu, dua lelaki tersebut, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan pengimpal di syarikat berasingan.

ARTIKEL YANG SAMA