Seoul beri ‘amaran keras’ kepada Pyongyang

Seoul beri ‘amaran keras’ kepada Pyongyang

SEOUL, 24 Feb (AFP) – Ketenteraan Korea Selatan memberi amaran kepada Korea Utara hari ini supaya menghentikan semua ‘provokasi’ dengan berkata tindakannya yang tidak mengendahkan akan hanya mencepatkan ‘kejatuhan sistem diktatornya’.

Bidasan lisan itu dibuat sehari selepas pemerintah tinggi tentera berang dengan latihan bersama AS-Korea Selatan yang akan datang, dan mengancam akan menyerang Rumah Biru Presiden Seoul.

“Kami sekeras-kerasnya menggesa Korea Utara supaya segera menghentikan tindakan provokasi yang boleh membawanya kepada kemusnahan,” Ketua Turus Tentera Korea Selatan berkata dalam satu kenyataan. Korea Utara akan berdepan ‘hukuman tegas’ jika ia tidak mengendahkan amaran Seoul, menurutnya lagi.

“Korea Utara mesti ingat bahawa ia akan bertanggung jawab bagi semua situasi yang berbangkit dari provokasinya yang tidak mengendahkan dan kami memberi amaran ia akan hanya mencepatkan kejatuhan sistem diktatornya,” menurutnya lagi.

Seoul dan Washington pada bulan depan akan mengadakan latihan tahunan terbesar mereka dalam respons kepada ujian nuklear dan pelancaran roket jarak jauh oleh Korea Utara baru-baru ini. Pyongyang lazimnya mendakwa bahawa latihan tahunan Key Resolve/Foal Eagle itu adalah latihan bagi serangan sementara Seoul dan Washington berkata ia semata-mata pertahanan.

Ketegangan memuncak di semenanjung, dengan PBB menimbangkan sekatan lebih ketat ke atas Korea Utara untuk menghukumnya di atas ujian nuklear pada Januari lalu dan pelancaran roket bulan ini.

Sekatan itu semakin dekat semalam, apabila AS dan China, ketua pelindung Pyongyang dan satu – satunya sekutu utama berkata mereka telah membuat kemajuan dalam rundingan.

Korea Selatan, dalam langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini, telah menutup hartanah perindustrian yang dikendali bersama dan dibiayai Seoul di Korea Utara, dengan mengatakan ia membantu membiayai program tentera jirannya.