Seoul kesal Pyongyang tolak rundingan

Seoul kesal Pyongyang tolak rundingan

SEOUL, 20 Julai – Korea Selatan melahirkan kekesalan hari ini dengan penolakan Korea Utara kepada tawarannya bagi rundingan di pelbagai peringkat ketika kedua-dua negara bersiap sedia memperingati ulang tahun ke 70 pembebasan semenanjung Korea dari pemerintahan jajahan Jepun.

Minggu lalu, Speaker Parlimen Seoul, Chung Ui-Hwa telah menggunakan ulang tahun pada 15 Ogos sebagai alasan untuk menawarkan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Kim Yong-Nam.

Pada hari yang sama, Kementerian Pertahanan Korea Selatan meminta Pyongyang menghadiri Dialog Pertahanan Seoul September, sebuah forum keselamatan yang mana kira-kira 30 buah negara, termasuklah AS dan China telah dijemput.

Tetapi Pyongyang menolak kedua-dua cadangan pada hujung minggu, dengan menyifatkannya sebagai cubaan “memalukan” untuk menyembunyikan dasar berseteru Seoul terhadap Korea Utara.

Speaker Parlimen Seoul, Chung Ui-Hwa. - AFP
Speaker Parlimen Seoul, Chung Ui-Hwa. – AFP

“Kami sangat mengesali Korea Utara menolak tawaran itu dan memperkecilkan usaha kami untuk mengadakan dialog,” jurucakap kementerian penyatuan Seoul, Jeong Joon-Hee berkata.

“Kami berharap Korea Utara akan memberi respons kepada tawaran kami bagi rundingan dan mengambil laluan bagi kemajuan hubungan antara Korea,” Jeong memberitahu para pemberita.

Jawatankuasa Penyatuan Semula Aman Korea, Korea Utara, yang mengendali hubungan seberang sempadan, berkata latihan bersama ketenteraan Korea Selatan dengan pasukan AS awal tahun ini telah memperlihatkan “kepura-puraan” pendekatan damainya.

Korea Utara kebiasaannya membidas latihan bersama ketenteraan tahunan, dengan menyifatkannya latihan bagi peperangan.

Ketegangan seberang sempadan telah berlaku pada jarak waktu biasa tahun ini, dengan Korea Utara melancarkan siri-siri ujian peluru berpandu balistik dalam kemarahannya terhadap latihan ketenteraan itu.

Dan Pyongyang sangat marah dengan pembukaan pejabat PBB baru di Seoul pada bulan lalu untuk memantau rekod hak asasi kemanusiaan Korea Utara yang dikritik secara meluas. – AFP