Sepakat orde baru keamanan, kemakmuran

Sepakat orde baru keamanan, kemakmuran

SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) – Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen menggesa semua negara mencapai kesepakatan bagi Orde Baharu berasaskan aturan untuk memastikan keamanan dan kemakmuran di rantau ini.

Beliau berkata aturan antarabangsa sekarang ini sentiasa berubah disebabkan pengaruh ekonomi negara-negara Asia yang semakin berkembang.

Menurutnya Orde Baharu itu memerlukan kesepakatan yang mengambil kira realiti abad ke-21 dan selain memastikan prinsip seperti kedaulatan, mematuhi undang-undang antarabangsa dan penyelesaian konflik secara aman menjadi teras dalam aturan global pada abad ini.

Dr Ng berkata demikian semasa berucap pada sesi pleno kelima Dialog Shangri-La (SLD) ke-14 mengenai ‘Cabaran Keselamatan Global dan Asia Pasifik: Pembangunan Kerjasama Antara Rantau’ di sini hari ini.

Sesi pleno itu turut disertai Menteri Pertahanan Australia, Kevin Andrews dan Wakil Tertinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Federica Mogherini.

Beliau menegaskan bahawa sebagai sistem antarabangsa yang dipadankan dengan realiti baharu, semua negara mahu memastikan bahawa sistem berasaskan aturan dikekalkan dan bahawa struktur keselamatan beroperasi mengikut aturan dan norma-norma berdasarkan kesepakatan masyarakat antarabangsa.

Dalam pada itu, Dr Ng meraikan Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral (B)Ryamizard Ryacudu pada sarapan pagi di luar SLD dengan kedua-dua mereka menegaskan semula mengenai hubungan erat dan hubungan yang terjalin sejak dahulu lagi antara Singapura dan Indonesia dalam bidang pertahanan.

Kedua-dua menteri itu menarik perhatian tentang kemajuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak ke arah meningkatkan kerjasama dua hala dan membincangkan idea bagi latihan bersama antara Angkatan Tentera Singapura (SAF) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Dr Ng juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Jepun, Gen. Nakatani.

Kedua-dua menteri mengulangi mengenai hubungan mesra dan persahabatan dalam bidang pertahanan antara Singapura dan Jepun.