Sepakat promosi kerjasama ekonomi ASEAN-China

Sepakat promosi kerjasama ekonomi ASEAN-China

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang berakhir hari ini mencapai kata sepakat untuk meningkatkan lagi usaha mempromosikan kerjasama ekonomi dua hala di antara ASEAN dan China bagi memastikan kemakmuran dan persahabatan yang berterusan di antara kedua belah pihak.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan di akhir persidangan selama dua hari itu, menyatakan, kerjasama itu harus berpegang kepada lima tunggak utama iaitu perdagangan, pelaburan, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan di antara ASEAN dan China.

Oleh itu, usaha harus diteruskan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan pembangunan bagi mencapai kemakmuran bersama dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing, berkongsi peluang serta menghadapi cabaran-cabaran bersama.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur persidangan, Dr. Firdaus bin Abdul Rahman membacakan kenyataan bersama tersebut pada Penutup Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Menurutnya, para delegasi yang bersidang komited untuk terus memainkan peranan mendalami pertukaran dan mempromosikan persahabatan dua hala dengan mengadakan pelbagai kegiatan kemasyarakatan di antara rakyat ASEAN dan China termasuk mengadakan pertunjukan, pameran, forum, pertukaran belia dan kebudayaan.

Dr. Firdaus membacakan deklarasi pada majlis penutup persidangan tersebut.
Dr. Firdaus membacakan deklarasi pada majlis penutup persidangan tersebut.

Di samping itu, para delegasi juga memainkan peranan yang aktif dalam merancang kegiatan-kegiatan pertukaran bagi ulang tahun Penubuhan Hubungan Dialog ASEAN-China ke-25 serta mempromosikan usaha mengembangkan lagi hubungan persahabatan kedua-dua belah pihak.

Dalam meningkatkan lagi hubungan persahabatan itu, para delegasi juga mengalu-alukan cadangan dari Persatuan Persahabatan Singapura-China untuk menubuhkan laman sesawang Persahabatan Rakyat ASEAN-China dan dalam hubungan itu, menggalakkan semua persatuan yang berkenaan untuk menyediakan maklumat dan berkongsi pencapaian yang terkini untuk menjanakan platform bagi hubungan dan kerjasama di antara organisasi-organisasi persahabatan ASEAN-China.

Para delegasi yang bersidang juga menyatakan komitmen untuk terus menyokong dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan kedua-dua belah pihak yang bertujuan untuk mengekalkan keamanan, memberikan manfaat kepada pembangunan dan kemakmuran semua negara yang berasaskan kepada prinsip kesaksamaan, hormat-menghormati dan kepentingan bersama.

Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-11 akan diadakan seterusnya pada Tahun 2017 dengan Kemboja dipilih untuk menjadi hos bagi persidangan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA