Sepakat respons bencana bersepadu

Sepakat respons bencana bersepadu

PHNOM PENH, Kemboja, 17 Dis – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, kelmarin, telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-3 dan Mesyuarat Persidangan Pihak-pihak ke Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (COP ke AADMER) ke-4 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) , hari ini, secara umumnya, perkara-perkara yang dibincangkan semasa kedua-dua mesyuarat itu tertumpu kepada isu-isu serantau dan global dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan; perkembangan dan pencapaian dalam pelaksanaan AADMER; dan koordinasi bersama badan-badan sektoral peringkat menteri ASEAN bagi memastikan respons bencana yang bersepadu ke arah pendekatan Satu ASEAN, Satu Respons.
Mesyuarat dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan bencana termasuk setiausaha agung ASEAN.

Mesyuarat dimulakan dengan penyerahan peranan pengerusi bagi AMMDM dan COP to AADMER dari Negara Brunei Darussalam kepada Kemboja.

Sebelum menyerahkan peranan Pengerusi, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar telah menyampaikan ucapan penyerahan yang antara lain menyentuh tentang perkembangan dan pencapaian-pencapaian dalam pengurusan bencana serantau dalam tempoh Negara Brunei Darussalam mempengerusikan sidang berkenaan sejak akhir tahun lalu.

Semasa mesyuarat, Yang Berhormat Pehin turut menyampaikan pernyataan rasmi negara yang mana ada mengongsikan tentang perkembangan dan pencapaian negara dalam pengurusan bencana.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tiga dari kiri) bergambar ramai dengan menteri-menteri AMMDM dan Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen (tengah).
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar (tiga dari kiri) bergambar ramai dengan menteri-menteri AMMDM dan Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen (tengah).

Turut menyertai delegasi Negara Brunei Darussalam dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kol (B) Pengiran Dato Paduka Haji Rosli bin Pengiran Haji Chuchu serta beberapa orang pegawai dari KHEDN dan NDMC.