Sepakat tingkat k’sama praktikal

Sepakat tingkat k’sama praktikal

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Cabaran-cabaran utama keselamatan yang dihadapi oleh rantau ASEAN dan keadaannya yang bertambah kompleks dalam masa-masa yang tidak menentu adalah antara yang dibincangkan oleh menteri-menteri pertahanan ASEAN semasa Mesyuarat Retreat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang diadakan di Don Chan Palace Hotel, Vientiane, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan pegawai-pegawai kanan pertahanan telah menghadiri ADMM Retreat serta Mesyuarat Informal dengan Jepun yang diadakan selepas Mesyuarat Retreat tersebut.

Mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’ízzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam kapasiti sebagai Menteri Pertahanan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Semasa ADMM Retreat itu, menteri-menteri pertahanan ASEAN, menyedari akan sifat persekitaran keselamatan yang tidak menentu itu, mereka telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama praktikal dalam kalangan tentera untuk membina tahap keyakinan dan kepercayaan yang lebih tinggi antara satu sama lain.

Salah satu kerjasama praktikal itu termasuk penubuhan Perhubungan Secara Langsung (Direct Communications Link) yang bertujuan untuk mengekalkan komunikasi terbuka antara menteri-menteri pertahanan dalam situasi kecemasan atau krisis.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (kiri sekali) dan menteri-menteri pertahanan ASEAN dan Jepun bergambar ramai pada retreat itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin (kiri sekali) dan menteri-menteri pertahanan ASEAN dan Jepun bergambar ramai pada retreat itu.

Inisiatif DCL telah mendapat sokongan meluas daripada semua negara anggota ASEAN dan berikutan daripada komitmen penuh dan kerja yang dicapai oleh kesemua 10 buah negara, fasa awal DCL telah berhasil ditunjukkan semasa ADMM Retreat.

Negara-negara anggota ASEAN juga menegaskan kepentingan prinsip Pemusatan ASEAN untuk menangani persekitaran keselamatan yang dinamik.

Menteri-menteri pertahanan juga menyaksikan penyerahan peranan Pengerusi ADMM kepada Republik Filipina yang bermula pada 2017.

Sejurus selepas ADMM Retreat, Mesyuarat Informal Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan Jepun telah bersidang yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada dan telah dihadiri oleh menteri-menteri pertahanan ASEAN dan setiausaha agung ASEAN.

Mesyuarat Informal itu telah menggariskan kerumitan yang semakin meningkat dalam persekitaran keselamatan sejagat dan mengakui keperluan bagi kerjasama dan penglibatan yang lebih besar dalam menangani cabaran-cabaran tersebut.

Menteri-menteri pertahanan telah menekankan keperluan untuk mengekalkan penglibatan rapat antara satu sama lain dan bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama pertahanan pada masa akan datang.

Mesyuarat informal tersebut juga menegaskan kepentingan ADMM-Plus dan aktiviti-aktivitinya di bawah Kumpulan Kerja Pakar yang telah menyumbang ke arah memupuk semangat keterbukaan, kerjasama dan interoperabiliti dalam kalangan kesemua 18 negara ahli.

ASEAN dan Jepun telah mencapai hubungan rapat sejak tahun 1973 dan telah mengecapi kemajuan yang ketara dalam bidang politik-keselamatan, ekonomi-kewangan dan sosiobudaya.

ASEAN dan Jepun akan terus meningkatkan kerjasama mereka dalam bidang politik dan keselamatan melalui dialog dan rundingan, yang mana termasuk mesyuarat-mesyuarat di peringkat menteri, pegawai-pegawai kanan dan mesyuarat para pakar, serta kerangka yang lebih luas yang dipimpin ASEAN seperti Forum Serantau ASEAN (ASEAN Regional Forum) dan Sidang Kemuncak Asia Timur (East Asia Summit).

ARTIKEL YANG SAMA