Sepanyol, Itali dalam kumpulan sama

Sepanyol, Itali dalam kumpulan sama

ST PETERSBURG, Rusia, 26 Julai (AFP) – Aksi kelayakan Piala Dunia Russia 2018 kini tidak lagi mudah bagi beberapa kuasa besar tradisi Eropah.

Juara Piala Dunia 2006, Itali seharusnya paling kurang bernasib baik gara-gara kemerosotan prestasi apabila di undi bersama pemenang piala itu pada tahun 2010, Sepanyol dalam Kumpulan G.

Sesi undian itu yang diadakan Konstantin Palace di sini, pada awal pagi waktu Malaysia, turut menyaksikan Albania, Israel, Liechtenstein dan Macedonia, berada dalam kumpulan sama.

Tidak ketinggalan Kumpulan A yang dianggap Kumpulan Maut. Ia menyaksikan Belanda, Perancis dan Sweden diundi bersama bagi merebut satu tempat automatik.

Turut berada dalam kumpulan ini adalah Bulgaria, Belarus, dan Luxembourg. Begitupun, lapan pasukan kedua terbaik daripada sembilan kumpulan dari benua ini, bakal mendapat peluang kedua untuk ke Rusia menerusi aksi playoff.

Bekas pemain Rusia Aleksander Kerzhakov semasa undian kelayakan Piala Dunia di Konstantin Palace di St. Petersburg, Rusia semalam. – Reuters
Bekas pemain Rusia Aleksander Kerzhakov semasa undian kelayakan Piala Dunia di Konstantin Palace di St. Petersburg, Rusia semalam. – Reuters

Dalam pada itu, juara bertahan Jerman pula dianggap paling bernasib baik apabila berdepan saingan pasukan kurang ternama.

Pesaing utama mereka dalam Kumpulan C hanya Republik Czech. Pasukan lain dalam kumpulan itu adalah Northern Ireland, Norway, Azerbaijan, dan San Marino.

Cristiano Ronaldo pula tidak perlu risau kerana Portugal diundi dalam Kumpulan B yang dianggap mudah apabila hanya membabitkan Switzerland, Hungary, Kepulauan Faeroe, Latvia, dan Andorra.

Persaingan bola sepak paling lama di dunia iaitu antara England dan Scotland, akan berlaku dalam sesi kelayakan Piala Dunia kali ini, apabila kedua-duanya diundi dalam kumpulan sama iaitu Kumpulan E.

Turut diundi bersama dalam kumpulan ini adalah Slovakia, Slovenia, Lithuania, dan Malta.

ARTIKEL YANG SAMA