Sepanyol, Jerman ada peluang juarai Euro 2016

Sepanyol, Jerman ada peluang juarai Euro 2016

PETALING JAYA, 8 April (Bernama) – Juara Piala Dunia, Jerman dan Sepanyol memiliki barisan pemain yang mantap, sekali gus berpeluang cerah menjuarai Euro 2016, kata bekas penyerang antarabangsa Sepanyol, Fernando Morientes.

“Kedua-dua pasukan mempunyai pemain-pemain hebat yang kini beraksi di banyak liga bola sepak dunia seperti La Liga, Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga,” kata bekas pemain berusia 40 tahun itu yang pernah beraksi di beberapa kelab terkemuka dunia termasuk Real Madrid, Monaco, Valencia dan Liverpool.

Morientes pernah beraksi sebanyak 47 kali bersama skuad kebangsaan Sepanyol dan menyarung jersi pasukan berkenaan dalam dua saingan Piala Dunia dan satu Kejohanan Eropah.

Ditanya sama ada beliau akan beralih angin sebagai jurulatih, Morientes yang kini dilantik sebagai Duta La Liga, berkata beliau lebih gemar melatih pasukan di Sepanyol berbanding kelab EPL bagi membalas jasa kepada negara kelahirannya.

Moreintes kini berada di Malaysia sebagai tetamu khas pada majlis pelancaran ASTRO sebagai penyiar rasmi dan eksklusif Euro 2016, dan meluangkan masa bertemu peminat di Sunway Parade, di sini hari ini.

Kini hanya tinggal 56 hari lagi menjelang sepak mula Euro 2016 yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai.

Sebagai penyiar rasmi dan eksklusif Euro 2016 di Malaysia, ASTRO bakal menyiarkan semua 51 perlawanan secara langsung dalam HD di Astro TV dan ‘ASTRO on the Go’ melalui dua saluran khas ASTRO Supersports.

“Bagi meningkatkan Pakej Sukan kami selaras dengan teknologi media baharu, kami juga menyediakan laman web dan aplikasi mudah alih semasa Euro 2016.

Peminat boleh mendapatkan maklumat mengenai statistik rasmi perlawanan, sorotan perlawanan dalam pelbagai sudut kamera serta mendapat berita terkini, video dan keputusan,” kata Ketua Pegawai Operasi ASTRO, Henry Tan.

Tan berkata, Astro memahami apa diperlukan oleh peminat sukan dengan menyediakan mereka dengan pengalaman menyeluruh terhadap kejohanan berkenaan.

Perancis menjadi tuan rumah edisi ke-15 kejohanan berkenaan tahun ini dan perlawanan akan berlangsung di 10 stadium – Bordeaux, Lens, Lille, Lyon, Marseille, Nice, Paris, Saint-Denis, Saint-Etienne dan Toulouse.

Tahun ini adalah kali ketiga Perancis menjadi tuan rumah kejohanan tersebut selepas 1960 dan 1984.

ARTIKEL YANG SAMA