Sepanyol tekad mara ke pusingan akhir

Sepanyol tekad mara ke pusingan akhir

MADRID, 9 Okt (AFP) – Juara bertahan, Sepanyol berpeluang menempah tiket ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis tahun depan apabila mereka melayan kunjungan skuad kerdil, Luxembourg di Logrono esok.

Begitu pun, anak buah Vicente del Bosque sedang bergelut untuk menghasilkan jaringan selain sukar mengumpul tiga mata sepanjang kempen kali ini, sekali gus menguatkan lagi kenyataan yang menyebut generasi emas bola sepak negara itu sudah berlalu.

Del Bosque tetap menyandarkan harapan kepada pemain yang menjadi sebahagian daripada lakaran sejarah Sepanyol yang menang tiga kejohanan utama berturut-turut antara 2008 dan 2012 apabila muncul juara Piala Dunia serta dua gelaran Eropah.

Bekas pengendali Real Madrid itu dikritik hebat selepas pasukannya sekadar menang 1-0 ke atas Macedonia bulan lalu dan kejayaan itu membolehkan mereka selangkah ke pusingan akhir. Sepanyol menang tujuh daripada lapan perlawanan untuk memimpin Kumpulan C tetapi hanya berjaya menjaringkan lima gol sepanjang empat perlawanan terakhir.

Vicente del Bosque. – Reuters
Vicente del Bosque. – Reuters

“Kami ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sepanjang dua perlawanan ini. Pertama kami perlu memastikan layak ke pusingan akhir dan kedua, ia akan melengkapkan minggu kami,” kata Del Bosque.

Dalam usaha memburu jaringan, skuad La Roja akan kembali mendapat khidmat penyerang Juventus, Alvaro Morata bagi menggantikan Diego Costa yang digantung.

Biarpun aksi Chelsea sedikit hambar, rakan sepasukan Costa, Cesc Fabregas tetap disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Andai Fabregas diturunkan ketika aksi menentang Luxembourg dan Ukraine, Selasa ini, dia akan menjadi pemain Sepanyol ke-10 yang mewakili negaranya sebanyak 100 kali, lapan daripadanya ketika mereka menjulang Piala Dunia 2010.

ARTIKEL YANG SAMA