Separuh Jalan Labi ditutup sementara

Separuh Jalan Labi ditutup sementara

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) memaklumkan bahawa sebahagian Jalan Labi bersebelahan projek Lebuhraya Telisai-Lumut ditutup mulai kelmarin (26 Oktober) hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ini kerana ceruh yang bersebelahan jalan berkenaan telah susur akibat paip air pecah. Jalan yang sedia ada tidak terjejas, bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, tanda-tanda amaran, lampu dan penghadang keselamatan telah dipasang di situ.

BEDB dalam satu kenyataan di sini berkata, kanvas tarpaulin juga dipasang bagi menutupi kawasan terbabit bagi mengelakkan kejadian susur terus berlaku manakala kerja-kerja mengukuhkannya dijalankan.

Kenyataan itu berkata, bekalan air kepada penduduk di Kampung Labi turut terjejas dan pihak kontraktor kini sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk membaiki paip air yang pecah bagi memastikan bekalan air segera disambung semula dan pulih seperti sedia kala.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati semasa melalui kawasan berkenaan serta mematuhi arahan dan tanda-tanda amaran yang disediakan.

BEDB juga memberi jaminan bahawa kejadian tersebut tidak menjejaskan kelancaran projek Lebuhraya Telisai-Lumut yang dijadualkan siap menjelang April depan.