Separuh jalan telah dilalui

Separuh jalan telah dilalui

TOKYO, 1 Julai (AFP) – Pesawat udara berkuasa suria hari ini terbang antara Jepun dan Hawaii sebagai sebahagian dari percubaan mengelilingi dunia, telah melepasi separuh jalan penyeberangan Laut Pasifik yang sangat berbahaya, dan memecahkan rekodnya sendiri.

Solar Impulse 2 telah melakukan 50 peratus laluan ke negeri tropika Amerika Syarikat (AS) pada pukul 3:00 pagi waktu tempatan, setelah terbang 3,887 kilometer dengan 3,848 kilometer lagi yang harus dilalui, menurut projek itu.

Pada ketika itu, pesawat itu dan juruterbang veterannya dari Switzerland, Andre Borschberg telah mencatatkan 56 jam penerbangan berterusan dengan mudahnya mengatasi rekod sebelumnya iaitu 44 jam yang telah dicatat antara China dan Jepun.

“Sudah pun separuh jalan dilalui yang mungkin penerbangan sepanjang hidup saya! Saya menyukainya!, Borschberg menghantar di twitter dari kokpit.

Pusingan kelapan penerbangan mengelilingi dunia ini dijangka mengambil masa lima hari lima malam dan dianggap bahagian pengembaraan paling sukar.

Solar Impulse 2 berlepas dari lapangan terbang Nagoya. – AFP
Solar Impulse 2 berlepas dari lapangan terbang Nagoya. – AFP

Pesawat udara berkuasa solar eksperimen ini meninggalkan Jepun sekitar pukul 4 petang semalam awal waktu tempatan hari ini selepas sebulan di bandar tengah, Nagoya.

Pesawat udara dipacu kipas ini pada awalnya dijadualkan terbang terus dari Nanjing di China menuju Hawaii, tetapi cuaca buruk di sepanjang laluan telah memaksanya melencong ke Jepun yang dilanjutkan hampir keseluruhan tempoh bulan Jun ketika peramal kaji cuaca menantikan keadaan yang lebih baik.

Borschberg bersendirian dan sepenuhnya bergantung sendiri pada kokpit tanpa tekanan.

Melakukan penerbangan pada ketinggian lebih 9,000 meter, dia terpaksa menggunakan tangki oksigen untuk bernafas dan mengalami perubahan cuaca sepanjang hari.

Dia hanya berehat selama 20 minit dalam satu masa dan tidak boleh bergerak dari tempat duduknya, yang mempunyai tandas terbina dalam dan juga dipasang payung terjun dan rakit keselamatan.