Separuh kekayaan dunia milik 62 individu

Separuh kekayaan dunia milik 62 individu

LONDON, 18 Jan – Enam puluh dua individu terkaya dunia kini memiliki kekayaan sebanyak yang dimiliki separuh daripada penduduk dunia iaitu kira-kira 3.5 bilion orang, ketika individu terkaya semakin mewah manakala orang miskin bertambah sengsara.

Harta 62 orang terkaya itu bertambah 44 peratus sejak 2010, manakala kekayaan 3.5 bilion manusia paling miskin jatuh 41 peratus, lapor pertubuhan kebajikan Oxfam, dalam laporan yang disiarkan menjelang mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Sedunia di Davos.

Hampir separuh daripada individu paling kaya itu berasal dari Amerika Syarikat, 17 dari Eropah dan selebihnya dari pelbagai negara lain termasuk China, Brazil, Mexico, Jepun dan Arab Saudi.

“Kebimbangan pemimpin dunia mengenai krisis ketidaksamaan yang semakin memuncak setakat ini tidak diiringi tindakan kukuh, dunia menjadi semakin tidak adil dan aliran itu semakin pantas.

“Kita tidak boleh terus membenarkan ratusan juta penduduk dunia kelaparan ketika sumber yang boleh digunakan untuk membantu mereka diambil orang kaya,” kata Pengarah Eksekutif Oxfam International, Winnie Byanima. – Reuters