Sepetang bersama Wu Chun

Sepetang bersama Wu Chun

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Seramai 100 orang peminat bersama tujuh orang warga media dari China dan Hong Kong berada di negara ini bagi mengikuti acara Sepetang Bersama Duta Jenama Antarabangsa RB, Wu Chun yang merupakan pelakon dan penyanyi antarabangsa kelahiran Brunei.

Acara yang berlangsung hari ini di Taman Permainan Jerudong Park itu bertujuan untuk mempamerkan budaya Brunei dan tempat-tempat menarik di negara ini bagi pasaran China.

Beberapa aktiviti telah disusun oleh Penerbangan Diraja Brunei (RB), antaranya ialah permainan mencari harta karun (treasure hunt) yang diinspirasikan daripada Amazing Race, namun uniknya ia memperkenalkan pelbagai budaya Brunei seperti makanan wajid, menambat sinjang, menganyam ketupat dan banyak lagi.

Persembahan pentas oleh artis-artis tempatan seperti The Ellewan, Lively Dancers, Pei Pei dan ramai lagi turut menghiburkan para peminat dan warga media berkenaan.

Sepanjang hari ini, para peminat juga berpeluang untuk bermain, berhibur dan menimba pengalaman dengan menaiki permainan yang terdapat di taman permainan berkenaan.

Wu Chun menyapa warga media dari China dan Hong Kong serta para peminatnya pada acara tersebut.
Wu Chun menyapa warga media dari China dan Hong Kong serta para peminatnya pada acara tersebut.

Selain itu, pondok-pondok jualan juga disediakan pada acara itu yang menampilkan peniaga-peniaga tempatan yang menjual kopi, barang kemas, makanan ringan dan macam-macam lagi.

Terdahulu sebelum aktiviti-aktiviti dimulakan, sidang media diadakan yang dihadiri oleh wakil dari Pejabat Pelancongan Brunei, Dayang Salinah binti Salleh; Ketua Jualan RB, Christina Chua; Ketua Pegawai Eksekutif RB, Karam Chand; Duta Jenama RB, Wu Chun dan Pengurus Sumber Manusia Jerudong Park Country Club (JPCC), Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Othman.

Pada sidang media tersebut, Karam Chand menyatakan bahawa RB kini merancang untuk memperkembangkan lagi perkhidmatannya.

“Beberapa buah kapal terbang baru akan didatangkan lagi, sebuah pada tahun hadapan dan sebuah lagi pada tahun 2018. Termasuklah beberapa destinasi penerbangan ke beberapa buah negara,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan mengenai visa ketibaan yang juga dirancang bagi memudahkan pelancongan di negara ini di samping kerjasama dengan perkhidmatan penerbangan di luar negara.

Wu Chun pula menerangkan beberapa perkara mengapa pelancong perlu bercuti di negara ini dengan menikmati hidangan tempatan, mengunjungi tempat-tempat menarik seperti Ulu Temburong, Jerudong Park dan beberapa lagi tempat kunjungan yang ada di negara ini.

Sementara itu, Dayang Salinah pula menjelaskan mengenai perancangan untuk membangun semula Daerah Temburong sebagai destinasi percutian yang bukan hanya tertumpu kepada infrastrukturnya namun lebih kepada pendedahan untuk merubah pemikiran pelancong mengenai destinasi di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA